Gombak: Seorang banduan yang menerima rawatan di hospital didapati ‘ghaib’ selepas berupaya membuka gari tangannya menggunakan teknik khas.

Dalam kejadian jam 2.45 petang kelmarin, suspek berusia 33 tahun didapati meninggalkan gari besi itu di katil hospital sejurus melarikan diri dari wad pesakit di Hospital Selayang, di sini.

Difahamkan, banduan itu yang menjalani hukuman penjara lapan bulan turut berjaya meloloskan diri walaupun dikawal dua wadar Penjara Kajang di bilik rawatan itu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, suspek berkenaan dikesan hilang ketika seorang doktor datang ke bilik rawatan itu untuk memeriksa keadaannya.

Beliau berkata, suspek menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah mencuri kenderaan.

Dia dirawat di Hospital Selayang di sini, sejak 26 Julai lalu selepas mendakwa mengalami sakit perut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 8:13 AM