MATRANG menampal poster larangan penjualan rokok tidak sah.
MATRANG menampal poster larangan penjualan rokok tidak sah.
Oleh Abd Rahman Adam

Bintulu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memperhebatkan usaha banteras rokok seludup seludup di Sarawak apabila merampas 15,288 batang rokok membabitkan cukai tidak berbayar berjumlah RM8,814 menerusi Ops Pacak sejak dua hari lalu.

Operasi itu adalah kesinambungan Ops Outlet seluruh negara yang dilancarkan pada 2010 hingga Oktober tahun ini dan sejak itu, JKDM berjaya merampas rokok seludup bernilai kira-kira RM200 juta.

Dalam tempoh sama, seramai 5,800 peruncit ditahan dengan 645 daripadanya sudah dikenakan tindakan mahkamah manakala 1,370 lagi masih dalam proses pendakwaan kerana kesalahan memiliki dan menjual rokok seludup, manakala selebihnya masih dalam siasatan lanjut.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata, bagi memastikan keberkesanan tindakan untuk memerangi penjualan rokok seludup, beberapa strategi dilaksanakan JKDM termasuk mengadakan operasi bersepadu bersama agensi penguatkuasaan yang lain.

“Sekarang kita melancarkan Ops Pacak di peringkat negeri sebagai lanjutan Ops Outlet yang dilaksanakan secara besar-besaran seluruh negara untuk meningkatkan lagi penguatkuasaan terhadap aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok seludup.

“Ops Pacak akan berlanjutan selama sebulan juga akan memberi tumpuan kepada barangan kritikal lain yang sering diseludup khususnya minuman keras,” selepas melancarkan Operasi Pacak Sarawak di Dataran Esplaned, di sini, semalam.

Dalam operasi yang berlangsung semalam, JKDM dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Kesihatan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan serbuan terhadap lima premis, di sini, sejak Rabu lalu.

Dua individu termasuk seorang wanita warga emas berusia 63 tahun diberkas bagi membantu siasatan dalam serbuan itu.

Ditanya mengenai pemilihan Bintulu sebagai pelancaran Ops Pacak, Matrang berkata, daerah ini dianggap sebagai ‘hotspot’ atau lokasi panas membabitkan kegiatan menjual dan mengedar rokok seludup.

“Bagi negeri Sarawak, dalam tempoh 1 Januari hingga 26 November tahun ini, jumlah rokok seludup bernilai RM609,709 berjaya dirampas dengan nilai cukai tidak berbayar sebanyak RM5.3 juta.

“Justeru, usaha memerangi aktiviti penyeludupan dan penjualan rokok seludup dilipat gandakan bagi memastikan negara tidak kehilangan hasil daripada cukai barangan itu,” katanya.

Matrang berkata, kajian dijalankan sebuah syarikat perunding mendapati 32 peratus daripada rokok yang dijual di pasaran seluruh negara adalah rokok seludup.

“Aktiviti penyeludupan rokok menyebabkan negara kehilangan anggaran sebanyak RM1.9 bilion daripada hasil rokok yang tidak dikutip setiap tahun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:03 AM