Gua Musang: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam terhadap tiga tuduhan menyimpan 2,131 karton rokok seludup bernilai lebih RM35,000, minggu lalu.

Tertuduh, Idris Soiri, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Izzudin Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menyimpan 450 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM7,385.20 di sebuah rumah di Jalan Simpang Pulai, di sini, jam 2.30 petang, pada 16 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh, waktu dan lokasi sama tertuduh didakwa menyimpan lebih 1,530 karton rokok pelbagai jenama bernilai RM27,072. di dalam bilik di rumah berkenaan.

Pada tarikh, waktu dan lokasi sama tertuduh didakwa menyimpan 151 karton rokok seludup pelbagai jenama bernilai RM2,360.80 yang disimpan di dalam kereta Proton Waja di dalam garaj kereta rumah itu.

Semua pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 135(1)(d), Akta Kastam 1967 yang dihukum mengikut Seksyen 135(1)(iii) (aa), akta sama yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Karthy Gasedev dari Jabatan Kastam Diraja Malaysia menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Mariana Mat Kudin yang mewakili tertuduh memohon jaminan minimum kerana jumlah jaminan yang ditawarkan terlalu tinggi selain anak guamnya perlu menyara isteri dan empat anak.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport sehingga kes selesai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2015 @ 8:07 AM