ENG Kai (kanan) didenda RM3,000 kerana  memiliki rokok tidak sah.
ENG Kai (kanan) didenda RM3,000 kerana memiliki rokok tidak sah.
Oleh Salman Hamat dan Muhamaad Razis Ismail

Butterworth: Dua lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam atas pertuduhan berasingan kerana memiliki rokok seludup.

Tertuduh, Ooi Eng Kai, 53, dan Jahir Hussain Ahamed Bahurdeen, 42, mengaku salah selepas faham dengan pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hizween Azleena Othman Kamal.

Mengikut pertuduhan, Eng Kai memiliki 2,000 batang rokok putih jenama Luffman Virginia Blend bernilai RM160 di No 3, Jalan Jetty Lama Butterworth pada jam 3 petang, 5 Mac lalu.

Jahir Hussain pula memiliki 137 peket yang setiap satu mengandungi 20 rokok putih jenama John di Pasar Mini Penaga, No 1200, Jalan Besar Penaga, Penaga pada jam 6 petang, 5 Disember 2011.

Hizween Azleena menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara sehingga tiga bulan sekiranya gagal menjelaskan bayaran itu terhadap Eng Kai.

Jahir Hussain pula didenda RM2,700 atau dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 135 (1) (iii)(aa) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga 20 kali ganda nilai barangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Muhd Ridhauddin Jamaludin dan Nur Izyani Ismail.

Sementara itu di Pasir Mas, Kelantan, seorang peniaga kedai runcit berdepan hukuman penjara dan denda selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan memiliki rokok seludup di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Eh Tee Eh Chom, 45, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mahkamah bagaimanapun menetapkan 7 April depan untuk fakta kes dan hukuman terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memiliki 140 peket rokok pelbagai jenama bernilai RM277.60 yang dilarang diimport dalam sebuah premis di Kampung Lati, Jalan Hospital di sini pada 12.30 tengah hari, 2 September lalu.

Bagi pertuduhan kedua, pada tarikh dan waktu sama dia didakwa memiliki 125 peket rokok pelbagai jenama bernilai RM244.60 di belakang premis sama di Kampung Lati, Jalan Hospital di sini.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang dihukum di bawah Seksyen 135(1)(iii)(aa) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Karthy Gasedev menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin. Tertuduh bagaimanapun memohon jaminan itu dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mac 2015 @ 8:43 AM