ORANG ramai meletakkan jambangan bunga sebagai tanda sokongan kepada keluarga murid Sekolah Tanjong Katong yang mengikuti program mendaki Gunung Kinabalu.
ORANG ramai meletakkan jambangan bunga sebagai tanda sokongan kepada keluarga murid Sekolah Tanjong Katong yang mengikuti program mendaki Gunung Kinabalu.

Kuala Lumpur: Kerajaan Singapura mengisytiharkan hari ini sebagai hari berkabung berikutan kematian lapan warganya manakala dua masih hilang dalam tragedi gempa bumi bermagnitud 5.9 yang melanda Sabah, Jumaat lalu.

Pejabat Perdana Menteri Singapura dalam satu kenyataan semalam berkata, bendera di semua bangunan kerajaan negara itu akan diturunkan separuh tiang dan setiap acara Sukan SEA hari ini akan dimulakan dengan upacara bertafakur selama seminit bagi menghormati mangsa yang terkorban.

“Kami berharap mendapat sokongan daripada semua rakyat Singapura dengan mengurangkan keperitan yang dihadapi keluarga mangsa,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga menyebut Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong mengucapkan terima kasih kepada mereka yang bertungkus lumus dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa gempa itu.

“Terima kasih pihak berkuasa Malaysia, pasukan mencari dan menyelamat, pihak hospital dan semua pegawai dan sukarelawan yang membantu dalam misi ini sama ada di Sabah atau di Singapura.”

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 6:06 AM