LELAKI berjalan di kawasan rumah yang musnah susulan gempa bumi kuat di kampung di kawasan pergunungan di Tafeghaghte, barat daya Marrakesh, Maghribi. FOTO AFP
LELAKI berjalan di kawasan rumah yang musnah susulan gempa bumi kuat di kampung di kawasan pergunungan di Tafeghaghte, barat daya Marrakesh, Maghribi. FOTO AFP
AFP

Rabat: Gempa bumi kuat di Maghribi sudah mengorbankan lebih 2,000 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 2,000 lagi.

Sebahagian besar mangsa yang cedera dalam keadaan kritikal, kata Kementerian Dalam Negeri pada Sabtu.

Sekurang-kurangnya 2,012 orang disahkan maut, manakala 2,059 cedera, termasuk 1,404 dalam keadaan kritikal, kata kenyataan kementerian berkenaan.

Daripada jumlah itu, 1,293 mangsa maut direkodkan di wilayah Al-Haouz, pusat gempa bumi, dan 452 mangsa maut di wilayah Taroudant, dua kawasan paling teruk dilanda gempa.

Pihak berkuasa meningkatkan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa yang cedera, tambah kenyataan kementerian itu.

Gempa bumi bermagnitud 6.8 itu melanda pada lewat Jumaat, di kawasan pergunungan 72 kilometer di barat daya bandar pelancongan Marrakesh, lapor Pemantauan Geologi Amerika Syarikat.

Gempa ini adalah paling dahsyat di Maghribi untuk selama beberapa dekad.

Pihak berkuasa mengisytiharkan tiga hari untuk tempoh berkabung, ketika pasukan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang terselamat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2023 @ 8:14 AM