JAMIL  Khir   (lima dari kanan) bersama sebahagian wakil syarikat yang membayar zakat perniagaan pada  Majlis Zakat Perniagaan 2015, semalam.
JAMIL Khir (lima dari kanan) bersama sebahagian wakil syarikat yang membayar zakat perniagaan pada Majlis Zakat Perniagaan 2015, semalam.
Oleh Nazarali Saeril

Kuala Lumpur: Skuad Jejak Asnaf Baitulmal ditubuhkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sejak 2012 membantu keluarga serta individu memerlukan bantuan zakat untuk meningkatkan taraf hidup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, skuad berkenaan ditugaskan untuk menjejak asnaf di dalam kawasan Wilayah Persekutuan bagi diberi bantuan sesuai.

“Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima jumlah zakat semakin meningkat setiap tahun dan ia diagihkan kepada asnaf yang layak.

“Ada dalam kalangan asnaf ini tidak tahu kaedah memohon atau tiada kemudahan ke MAIWP dan kerana itu kami minta skuad ini menjejak golongan berkenaan,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Zakat Perniagaan 2015 di Hotel Grand Season, di sini. Hadir sama, Pengerusi PPZ-MAIWP Datuk Che Mat Che Ali serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merangkap Timbalan Pengerusi MAIWP Datuk Othman Mustapha.

Pada majlis berkenaan, 14 syarikat menyerahkan zakat perniagaan 2015 berjumlah lebih RM15 juta. Antara pembayar zakat ialah Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membayar RM8.8 juta, Malaysia Building Society Berhad (MBSB) (RM1.08 juta) dan Ariani Textiles & Manufacturing (M) Sdn Bhd yang membayar RM375,000.

Untuk rekod, PPZ-MAIWP mengutip zakat melebihi RM530 juta bagi 2014 dan setakat Mei tahun ini pula, jumlah dikutip lebih RM203 juta.

Menurut Jamil Khir, skuad ini akan bergerak ke kawasan setinggan selain projek perumahan rakyat termiskin (PPRT) juga lokasi di mana orang ramai memaklumkan ada asnaf bagi diambil tindakan.

“Kami tidak mahu asnaf ini ketinggalan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan asnaf di tempat mereka yang masih belum dibantu bolehlah menghubungi MAIWP untuk diambil tindakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kanan (Komunikasi dan Hal Ehwal Korporat) TNB Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin berkata, ini kali ke-18 syarikat pembekal tenaga berkenaan membayar zakat.

“Jumlahnya meningkat saban tahun dan kami harap, ia dapat digunakan untuk membantu asnaf memerlukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Jun 2015 @ 8:13 AM