JAMIL Khir (tengah) bersama wakil koperasi selepas majlis penyerahan zakat koperasi 2014 di Putrajaya.
JAMIL Khir (tengah) bersama wakil koperasi selepas majlis penyerahan zakat koperasi 2014 di Putrajaya.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya

"Setiap sen dibelanjakan perlu mendapat kelulusan Jawatankuasa Syarak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan," kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata demikian bagi menafikan dakwaan segelintir pihak yang mendakwa Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menggunakan wang zakat yang dipungut sewenang-wenangnya.

Jamil Khir berkata, wang zakat yang dipungut PPZ-MAIWP hanya dibelanjakan untuk keperluan golongan asnaf dan fakir miskin saja bukannya disalahguna untuk perbelanjaan tidak sepatutnya.

Menurutnya, apa saja wang zakat yang dibelanjakan PPZ-MAIWP digunakan menampung keperluan golongan asnaf dan fakir miskin selain turut digunakan untuk membina masjid, surau dan sekolah agama serta keperluan lain di sekitar Wilayah Persekutuan.

"Setiap wang zakat yang hendak dibelanjakan juga perlu mendapat kelulusan jawatankuasa yang dipengerusikan Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri itu.

"Kami tidak belanjakan wang itu sewenang-wenangnya. Sebagai pemegang amanah, MAIWP memastikan golongan asnaf di Wilayah Persekutuan sentiasa terbela dan kecekapan serta ketelusan dalam pengagihan zakat diberi perhatian," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Koperasi 2014, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Datuk Othman Mustapha dan Pengerusi PPZ-MAIWP Datuk Che Mat Che Ali.

Pada majlis itu, PPZ-MAIWP menerima zakat perniagaan koperasi RM2.3 juta yang diserahkan 10 koperasi bagi pembayaran zakat perniagaan mereka sepanjang tahun lalu.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, beliau yakin sasaran kutipan zakat RM550 juta ditetapkan PPZ-MAIWP tahun ini mampu dicapai berdasarkan peningkatan kutipan dan bilangan pembayar zakat sehingga kini.

"Kutipan zakat PPZ-MAIWP bagi Januari hingga September tahun ini RM360.58 juta, meningkat 16 peratus berbanding kutipan bagi tempoh sama tahun lalu iaitu RM310.22 juta.

"Malah, bilangan pembayar bagi bagi tempoh sama tahun ini ialah 124,455 meningkat 11 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu. Peningkatan kutipan dan bilangan pembayar zakat secara tidak langsung menunjukkan dakwah zakat yang dijalankan PPZ-MAIWP sampai ke golongan sasar dan meningkatkan kesedaran mereka menunaikan ibadat zakat," katanya.

Tambah beliau, bagi zakat perniagaan, RM52.84 juta dikutip sehingga September tahun ini.

, meningkat 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:31 AM