TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah.
TERTUDUH dibawa keluar dari mahkamah.
Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Petaling Jaya: Seorang anggota polis berpangkat lans koperal dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan merogol, melakukan seks luar tabii dan mengugut seorang pelajar kolej berusia 19 tahun, minggu lalu.

Muhammad Fazrul Fauzi, 30, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya di dua mahkamah berasingan.

Pada prosiding di hadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh, tertuduh didakwa masing-masing merogol dan melakukan seks luar tabii ke atas mangsa yang ketika kejadian berusia 18 tahun 11 bulan di tandas lelaki, Dataran Sunway, Jalan PJU 5/13, dekat sini, antara jam 1 pagi dan 1.45 pagi pada 27 Januari 2015.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tan Gin Han tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh atas alasan tertuduh sudah merosakkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kes membabitkan kepentingan awam.

Bagaimanapun, peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar yang mewakili Muhammad Fazrul memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin kerana tertuduh sudah berkahwin dan memberi kerjasama kepada polis dan pendakwaan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 untuk setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mac ini untuk sebutan kes.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan ketakutan kepada mangsa yang sama bahawa dia akan dibuang kolej dan ditangkap Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Februari 2015 @ 8:31 AM