SERAMAI 152 rakyat Malaysia di  Sana’a dan  Hodeidah, Yaman dalam proses dibawa pulang ke Malaysia.
SERAMAI 152 rakyat Malaysia di Sana’a dan Hodeidah, Yaman dalam proses dibawa pulang ke Malaysia.

Kuala Lumpur: Kerajaan mula membawa pulang rakyat Malaysia di Yaman yang kini bergolak berikutan kancah peperangan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar, proses berkenaan akan melalui dua fasa evakuasi dengan Kedutaan Besar Malaysia di Sana’a, Yaman dan Riyadh, Arab Saudi serta Konsulat Jeneral di Jeddah sudah memulakan fasa pertama.

“Seramai 108 rakyat Malaysia dari Sana’a dan 44 dari Hodeidah sudah dipindahkan melalui laluan darat, semalam.

“Bersama-sama rakyat Malaysia termasuk lapan warganegara Thailand, Singapura (enam) serta masing-masing seorang rakyat Yaman dan Indonesia,” kata kenyataan itu di sini, semalam.

Menurut kenyataan itu, perancangan sedang dilakukan untuk membawa warga Malaysia ke Jeddah dan mereka dijangka berlepas ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat.

Wisma Putra memberitahu, fasa kedua membabitkan usaha membawa pulang rakyat Malaysia di Aden dan wilayah Hadramaut.

Katanya, Kedutaan Malaysia di Muscat, Oman sedang membuat semua persediaan bagi memudahkan pemindahan fasa seterusnya itu secepat mungkin.

“Kementerian Luar akan sentiasa mengemas kini maklumat mengenai status proses pemindahan itu,” kata kenyataan itu lagi.

Baru-baru ini, tentera bersekutu diterajui Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas kedudukan puak pemberontak Houthi di ibu negara Yaman ketika perang saudara di negara Teluk yang strategik itu.

Sebelum ini, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, terdapat seramai 879 rakyat Malaysia di negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 April 2015 @ 8:12 AM