SEBAHAGIAN daripada rakyat Malaysia yang dibawa pulang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.
SEBAHAGIAN daripada rakyat Malaysia yang dibawa pulang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, semalam.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: “Ketika serangan berlaku, saya nampak bom dilepaskan dari udara bermula jam 10 malam hingga subuh. Malah, letupan bom kedengaran hingga gegarannya terasa di tempat tinggal kami,” kata pelajar Maahad Bahasa Sana’a Syed Asyraf Syed Zain Ariffin, 19.

Anak sulung daripada lima beradik itu adalah seorang daripada 121 rakyat Malaysia yang dibawa pulang, semalam selepas Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas negara jirannya, Yaman sejak 26 Mac lalu.

Menceritakan pengalamannya, Syed Asyraf berkata, dia bimbang apabila melihat bom mula dilepaskan dari udara dan sentiasa berdoa memohon kepada Allah supaya tiada kejadian buruk berlaku.

“Terasa seperti berada di kawasan medan perang, melihat dan mendengar letupan bom, namun lama kelamaan saya menganggapnya perkara biasa.

“Saya dan rakan lain memberanikan diri keluar dari rumah melihat keadaan sekeliling dan apabila melihat ke udara, seperti ada tembakan bunga api,” katanya ketika ditemui media sebaik tiba dari Jeddah, Arab Saudi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Ketibaan mereka disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Othman Mustapha, wakil Kementerian Luar dan Kementerian Pendidikan selain keluarga masing-masing.

Syed Asyraf berasal dari Kuala Lumpur berkata, sepanjang serangan berlaku, dia dan rakan yang lain tidak mempunyai sebarang kesulitan untuk mendapatkan bekalan makanan.

“Kedai masih beroperasi seperti biasa pada waktu siang dan kami tidak menghadapi masalah mendapatkan makanan kecuali bekalan elektrik kerana kadangkala ia terputus.

“Jika ikutkan hati, saya memang tidak mahu pulang tetapi ibu bapa sangat bimbang. Kerajaan juga menyediakan kemudahan, jadi saya pun ikut sekali,” katanya.

Penuntut Jamiah Dar Al-Ulum Syariyyah Uwais Althof Sanusi, 17, berkata, keadaan sama juga berlaku di kawasan tempat tinggalnya di Hodeidah apabila letupan sering kedengaran.

“Kami tidak dibenarkan keluar dari rumah selepas Isyak memandangkan serangan bermula pada waktu berkenaan. Pada hari pertama serangan, letupan bom kedengaran bermula seawal jam 7 malam.

“Bekalan makanan juga terpaksa berjimat cermat disebabkan stok tidak banyak namun, kami bersyukur apabila Kedutaan Malaysia di Yaman datang ke kawasan kami dan memaklumkan mahu membawa rakyat Malaysia keluar dari negara itu,” katanya berasal dari Banting, Selangor.

Sementara itu, Dr Nor Azian Hasnan, 48, yang mengikuti kursus Bahasa Arab selama tiga bulan di Maahad Bahasa Sana’a berkata, dia menyangka bunyi letupan bom adalah guruh kerana tiga hari sebelum serangan udara bermula, kawasan itu dilanda hujan.

Katanya, disebabkan bunyi terlalu bising, dia tidak dapat tidur, selain bimbang dengan keselamatan dirinya.

“Saya mengetahui serangan bom itu selepas dimaklumkan jiran dan bermulalah usaha membawa rakyat Malaysia keluar dari Yaman.

“Kami bergerak dari Sana’a ke Hodeidah menaiki bas yang jaraknya 300 kilometer (km) seterusnya ke Jizan iaitu sempadan antara Yaman dan Arab Saudi,” katanya.

Dr Nor Azian berkata, beliau bersyukur sebaik sampai ke Jizan kerana mimpi buruk mendengar letupan bom itu sudah berakhir.

Ibu kepada enam anak itu mempunyai klinik sendiri mengambil keputusan bercuti selama tiga bulan sejak 19 Februari lalu untuk mengikuti kursus Bahasa Arab di Yaman.

Pada 26 Mac lalu, Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas Yaman bagi mengetuai negara gabungan negara Arab dalam usaha mengusir pemberontak Houthi di negara itu.

Serangan ke atas kumpulan pemberontak dilakukan selepas Houthi mengawal ibu negara Yaman beberapa bulan, selain menawan bahagian selatan bandar, Pantai Aden serta beberapa pangkalan udara sebelum dipindahkan tentera Amerika Syarikat dalam operasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 8:23 AM