Rusli (kanan) memeriksa rokok seludup yang dirampas.
Rusli (kanan) memeriksa rokok seludup yang dirampas.
Oleh Adnan Mohamad

Kota Bharu: Kegiatan sindiket penyeludupan rokok seludup ke negeri ini dikesan menggunakan van bernombor plat asal dan nama serta alamat perniagaan tulen sebagai taktik baru untuk mengelak diperiksa pihak berkuasa dan ia dilakukan seolah-olah seperti membawa barangan biasa.

Sebelum ini, sindiket akan menggunakan kereta biasa dengan nombor pendaftaran palsu ketika melakukan kegiatan itu.

Namun taktik licik berkenaan berjaya dihidu Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) Kelantan selepas melakukan intipan selama enam bulan sebaik menerima maklumat berkaitan kegiatan itu.

Hasilnya, tujuh van jenis Mercedes Benz dan Toyota milik satu sindiket penyeludupan yang membawa muatan 25,010 karton rokok putih dan kretek bernilai RM2.4 juta ditahan di Batu Melintang, Jeli, dekat sini, petang kelmarin manakala sebuah lagi van yang dipercayai milik sindiket sama ditahan UPP Pengkalan Hulu, Perak selepas melarikan diri sebaik mengetahui ada operasi UPP.

Kenderaan yang membawa rokok seludup ini dikesan di sempadan Perak/Kelantan sebelum ia disembunyikan di laluan balak selepas pemandunya menyedari pasukan UPP melakukan operasi dan sekatan jalan raya.

Komander UPP Kelantan Rusli Karim berkata, rampasan berkenaan yang terbesar di negeri ini dan ia hasil maklumat awam serta risikan pihaknya.

Katanya, dalam operasi terbabit, anggotanya berjaya mengesan pergerakan semua van berkenaan dari Jalan Raya Timur-Barat sebelum melakukan sekatan jalan raya.

“Semua van berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari pantai barat untuk menghantar rokok berkenaan bagi pasaran negeri ini.

“Namun, sebaik menyedari pihak UPP ada menjalankan operasi, semua pemandu van berkenaan kemudian memasuki laluan balak di Batu Melintang dengan tujuan menyembunyikan van itu.

“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan menemui tujuh van berkenaan, tetapi pemandunya sudah melarikan diri.

“Pemeriksaan di dalam kenderaan itu membawa kepada penemuan 25,010 karton rokok pelbagai jenis,” katanya, semalam.

Rusli berkata, pemeriksaan yang dilakukan terhadap semua kenderaan itu menemui 25,010 karton rokok pelbagai jenis bernilai RM367,232 dengan cukai RM2,059,415.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk nilai kenderaan yang dirampas iaitu RM610,000 adalah sebanyak RM3,026,647,92.

“Kami percaya rokok yang dibawa dari negeri di pantai barat itu untuk bekalan negeri ini khususnya sepanjang sambutan Tahun Baru Cina berikutan jumlahnya yang banyak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Februari 2015 @ 10:29 AM