MOHAMMAD Azlan (tengah) bersama Abdul Jalil (tiga dari kiri) dan Seelan (kiri) beramah mesra dengan kakitangan Media Prima, semalam.
MOHAMMAD Azlan (tengah) bersama Abdul Jalil (tiga dari kiri) dan Seelan (kiri) beramah mesra dengan kakitangan Media Prima, semalam.

Kota Bharu: “Ini untuk ringankan beban mereka dan semoga musibah ini tidak melemahkan semangat kakitangan dan pekerja sambilan yang terjejas,” kata Ketua Pegawai Eksekutif The New Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) Datuk Mohammad Azlan Abdullah

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan sumbangan untuk 44 kakitangan Kumpulan Media Prima termasuk NSTP di sini yang terjejas akibat banjir, Disember lalu.

Kunjungannya diiringi Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad (MPB) Seelan Paul dan Pengarang Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid.

Mohammad Azlan berkata, simpati dengan nasib menimpa kakitangan dan berharap sumbangan wang tunai serta barang keperluan dapat meringankan beban mangsa.

“Sejumlah RM13,000 diperoleh daripada sumbangan ikhlas kakitangan di ibu pejabat selama dua minggu dan semuanya kita serahkan kepada kakitangan di Wilayah Timur yang terjejas selain daripada tabung bencana kelolaan syarikat.

“Bantuan ini untuk meringankan beban yang ditanggung mereka dan saya berharap semua yang terbabit bersabar dan reda menempuh dugaan ini.

“Semoga musibah ini tidak melemahkan semangat dan jadikannya sebagai cabaran dalam kehidupan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan kepada 44 kakitangan Media Prima di sini, semalam.

Sementara itu, Abdul Jalil memuji semangat juang kakitangan yang masih dapat berkhidmat dengan baik untuk memberi maklumat kepada orang ramai, meskipun berdepan tekanan dan terjejas akibat banjir.

“Liputan yang diberikan mendapat pujian pembaca kerana ia adalah laporan terkini dan bermaklumat.

“Saya harap semua kakitangan terjejas dapat tangani musibah begini dan terus memainkan peranan dengan lebih baik sepanjang bertugas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 January 2015 @ 8:05 AM