DR Hilmi (kiri) bersama ahli   Team Love Quran melihat naskhah al-Quran   rosak yang   dikumpul.
DR Hilmi (kiri) bersama ahli Team Love Quran melihat naskhah al-Quran rosak yang dikumpul.
Oleh Nor Amalina Alias

Machang: “Al-Quran perlu dilupuskan secara tertib, sebab itu kami terpanggil untuk melakukan kerja pengumpulan ini kerana mungkin kita terlepas pandang perkara penting ini di sebalik kerja membersih kawasan banjir,” kata Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan Prof Madya Datuk Dr Hilmi Abdul Rahman.

Hilmi berkata, sejak 1 Januari lalu, kumpulan ‘Team Love Quran’ disertai 20 kakitangan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) serta pelajar UiTM berjaya mengumpul 1,500 naskhah al-Quran untuk dilupuskan.

Katanya, selepas dikutip, naskhah suci itu dikumpulkan di bilik khas ACIS untuk dikeringkan sebelum dihantar kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk proses pelupusan.

“Kami mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk bersihkan lumpur dan sampah pada al-Quran itu sebelum dikeringkan dan dihantar kepada MAIK untuk dilupuskan,” katanya ketika ditemui di UiTM kampus Machang, dekat sini, kelmarin.

Beliau berkata, idea untuk menubuhkan kumpulan mengutip naskhah suci itu, tercetus ketika UiTM menjalankan misi membersihkan kawasan banjir di Manek Urai, Kuala Krai, baru-baru ini.

Katanya, dia melihat banyak al-Quran rosak selepas masjid dan surau ditenggelami bah dan penduduk dilihat menggantung naskhah berkenaan yang ditenggelami air serta diselaputi lumpur.

“Ini membuatkan kami rasa bertanggungjawab untuk memungut naskhah yang rosak dan menghantarnya ke tempat yang betul untuk dilupuskan. Ini perlu dilakukan kerana orang ramai mungkin terlepas pandang perkara sepenting ini kerana al-Quran adalah mulia,” katanya.

Hilmi berkata, untuk melaksanakan misi itu, Team Love Quran turun sendiri ke kawasan banjir dan mencari naskhah yang rosak dan berlumpur selain mendapatkan bantuan imam dan kariah masjid serta pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terutama kawasan terjejas teruk bagi memudahkan al-Quran dan kitab dikumpulkan.

“Setakat ini, kami pungut naskhah suci ini di beberapa kawasan antaranya daerah Machang dan Kuala Krai dengan lori dan van mengangkut naskhah berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 7:07 AM