ANGGOTA polis membawa Hishamuddin dan Kartina  ke Mahkamah Majistret, semalam.
ANGGOTA polis membawa Hishamuddin dan Kartina ke Mahkamah Majistret, semalam.
Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Seorang wanita dan teman lelakinya dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan menganiaya anak wanita itu berusia tiga tahun sebelas bulan pada Jumaat lalu.

Kartina Kamilah Kamarudin, 29, dan Hishamuddin Ismail, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama menganiayai kanak-kanak perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa cedera fizikal di sebuah ruang tamu rumah di Lot 1191, Jalan Denai Utama, Kempas Baru di sini, jam 6.45 petang pada 26 Disember lalu.

Bagi perbuatan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 3(1)(a), Akta Kanak-kanak 2001 dan dibaca bersama Seksyen 34, Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara maksimum sepuluh tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Di mahkamah sama, Hishamuddin turut mengaku tidak bersalah melakukan ugutan jenayah dengan menakutkan nenek kanak-kanak itu, Rohani Abdullah, 56, dengan tujuan hendak mendatangkan ketakutan kepadanya.

Pendakwaan terhadap perbuatan tertuduh yang dilakukan di tempat, masa dan tarikh yang sama itu dibuat mengikut Seksyen 506, Kanun Keseksaan, jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Adham menawarkan jaminan RM15,000 bagi setiap tertuduh, manakala tidak menawarkan sebarang jaminan kepada Hishamuddin bagi tuduhan ugut.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh yang tidak diwakili peguam itu diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan supaya tidak mendekati mangsa yang ketika ini di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kes itu selesai.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen pula, kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada kanak-kanak itu dengan menggunakan kayu yang boleh menyebabkan kematian, juga di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 326, Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34, kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin seperti yang dicadangkan Timbalan Pendakwa Raya Khazrin Haffiz Khalil dan menetapkan 27 Januari 2015 untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 7:35 AM