Kuala Lumpur: “Ia tindakan segelintir manusia tidak punya otak dan melampau. Polis buru mereka,” itu diluahkan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim berhubung penyebaran pelbagai maklumat dan berita palsu tragedi banjir besar melalui laman sosial termasuk WhatsApp.

Beliau yang dihubungi semalam menyelar tindakan pihak tertentu yang sengaja menyebarkan maklumat palsu dipercayai bagi mencetuskan rasa panik terhadap mangsa termasuk anggota penyelamat.

Menurutnya, polis memberi amaran mengambil tindakan tegas termasuk menjejaki individu yang dikesan sengaja menyebarkan maklumat palsu itu.

“Pelbagai maklumat tidak benar ini sengaja disebarkan berhubung tragedi banjir di Pantai Timur saban hari tanpa henti.

“Mungkin individu yang menyebarkan maklumat palsu itu gembira dengan memperdaya orang ramai. Apatah lagi jika berita mengarut itu disebarkan pula.

“Akibatnya, mesej itu menimbulkan kemarahan seolah-olah pihak berkuasa gagal menangani bencana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Disember 2014 @ 7:28 AM