Oleh Nor Azura Abdul Jalil dan Wahi Aziz

Kuala Lumpur: Pernikahan selama lapan tahun antara penyanyi dan pelakon, Ieda Moin dengan suaminya, Mohd Naquib Idris berakhir dengan perceraian selepas lelaki itu melafazkan talak satu terhadapnya di Mahkamah Rendah Syariah, di sini, semalam.

Pengurus produksi itu melafazkan cerai pada jam 11.03 pagi di hadapan Hakim Syarie Mohamed Hizwan Mohamed Nor selepas kedua-dua pihak bersetuju untuk bercerai secara baik.

Mohamed Hizwan kemudian mensabitkan berlaku perceraian dengan talak satu dan memerintahkan Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin, 35, menjalani tempoh edah selama tiga bulan mendaftarkan perceraian mereka di pejabat agama dan sijil nikah dibatalkan.

Mohd Naquib selaku plaintif memfailkan permohonan cerai itu pada 3 Disember lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Terdahulu, ketika disoal hakim adakah bersetuju untuk bercerai, Ieda memberitahu ia jalan terakhir untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

“Saya dengan rela hati bersetuju untuk bercerai. Kami dah banyak kali berbincang dan sudah banyak kali juga saya bagi peluang dan saya rasa itu (bercerai) jalan terbaik,” katanya.

Berkaitan dengan nafkah pula, Ieda tidak setuju dengan Mohd Naquib yang mahu membayar nafkah anak mereka sebanyak RM800 sebulan.

Mahkamah kemudian mengarahkan pasangan itu memfailkan tuntutan nafkah anak dan nafkah edah di Mahkamah Tinggi Syariah.

Ketika ditemui media di luar mahkamah Ieda yang hadir ditemani ayah dan pengurusnya dengan tenang berkata, dia menerima ketentuan Allah jodohnya sampai di situ saja.

“Saya okay saja. Jodoh saya sampai di sini. Sudah dua bulan kami tidak tinggal sebumbung. Mengenai anak kami tidak ada masalah,” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada 4 November 2006 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Dhia Dania yang kini berusia enam tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Disember 2014 @ 5:16 AM