Datuk Red selepas sebutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat. FOTO ASYRAF HAMZAH
Datuk Red selepas sebutan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Gombak Barat. FOTO ASYRAF HAMZAH
Najiy Jefri


Kuang: Raut wajah usahawan Datuk Seri Adnan Abu kelihatan sugul dan penuh kesedihan selepas menceraikan isteri keduanya, Adira Suhaimi, 32, dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, di sini, hari ini.

Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red,46, melafazkan cerai talak satu itu pada jam 9.39 pagi di hadapan Hakim Syarie, Abdul Hadi Umar selepas mahkamah membenarkan permohonan Adira selaku plaintif mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Mahkamah kemudian mensabitkan berlaku perceraian talak satu dan memerintahkan Adira atau nama sebenarnya, Siti Adira Suhaimi menjalani tempoh edah selama tiga kali suci selain mendaftarkan perceraian mereka.

Datuk Red ketika ditemui selepas lafaz talak itu hanya mendiamkan diri ketika diajukan soalan mengenai keputusan yang dibuat dan meminta untuk bertanyakan kepada bekas isterinya saja.

"Tanya dia (Adira), saya tak larat nak jalan ni," katanya. 

Tampil mengenakan kurta bewarna merah jambu dengan menaiki motosikal jenis Honda EX5 pagi ini, Datuk Red bergegas meninggalkan perkarangan mahkamah.

Sementara itu, peguam syarie mewakili Datuk Red iaitu Muhammad Akmal Azman berkata, kedua-dua pihak sudah berbincang terlebih dulu sebelum memutuskan untuk bercerai, hari ini. 

"Hari ini, Alhamdulillah kedua-dua pihak bersetuju bercerai secara baik dengan terma-terma perjanjian yang sudah dapat dicapai. Antaranya adalah hak-hak selepas perceraian seperti nafkah sebagainya. Nafkah anak-anak pula mereka akan bincangkan sendiri. 

"Saya fahamkan mereka sudah berbincang pada hari raya Aidilfitri baru-baru ini rasanya dan hubungan mereka baik dan doakan yang baik-baik buat mereka," katanya.

Akmal turut tidak menolak, Datuk Red amat terkesan dengan perpisahan yang berlaku.

"Saya rasa mana-mana orang akan hadapi benda sama (cerai) apabila terpaksa melepaskan orang yang kita sayang. Doakan ada yang terbaik buat mereka," katanya. 

Ditanya mengenai kes perceraian dengan isteri pertamanya, Akmal berkata, prosiding akan diteruskan pada Mei depan. 

"Mengenai isteri pertama, saya tidak bincang lagi dengan Datuk Red tapi kes ini akan bersambung pada Mei nanti," katanya. 

Pada 25 Oktober tahun lalu, Adira memfailkan perceraian berikutan tiada persefahaman.

Sebelum ini, Adira pernah memfailkan perceraian pada 2019, namun menarik semula demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.

Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat anak iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia setahun.

Perkahwinan Adnan dengan isteri pertamanya yang dikenali sebagai Datin Red  atau Datin Seri Sharifah Norshafil Hassim turut berdepan ujian apabila isteri pertamanya itu memfailkan permohonan saman. 

Perkongsian hidup bersama Datin Red, mereka mempunyai lima anak.

Sebelum perkahwinan itu, Adnan pernah berkahwin ketika berusia 20 tahun dan berpisah lima tahun kemudian.

Hasil perkahwinan itu, dia dikurniakan dua anak dan secara keseluruhan mempunyai 11 anak menerusi tiga perkahwinan.

Berita berkaitan:

Adira tak tuntut nafkah, tak nak susahkan Datuk Red

Datuk Red, Adira kini sah cerai talak satu

Adira tenang, tetap nekad nak bercerai dengan Datuk Red

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 11:44 AM