FARIDAH menemani Norfariha di pusat perpindahan banjir.
FARIDAH menemani Norfariha di pusat perpindahan banjir.

Dungun: “Saya terpaksa mendukung menyelamatkan anak bongsu orang kurang upaya (OKU) terlebih dahulu tanpa mempedulikan barangan berharga lain,” kata mangsa banjir, Faridah Mat Isa, 49, selepas limpahan air sungai memasuki rumahnya di Kampung Pasir Raja, di sini, tengah malam semalam.

Katanya, suasana menjadi kelam-kabut apabila bekalan elektrik di kampungnya terputus pada jam 9 malam apabila sebuah pencawang Tenaga Nasional Berhad (TNB) ditimpa pokok tumbang.

“Selepas itu hujan lebat selama tiga jam serta air sungai melimpah masuk ke rumah penduduk,” katanya.

Faridah berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah bersama suaminya, Abdul Mutalib Mohamad, 51, dan menyimpan barangan di tempat tinggi berikutan hujan lebat.

“Setengah jam selepas itu, air mula memasuki rumah setinggi satu meter.

“Dalam kegelapan itu, suami berusaha menyelamatkan barang, manakala saya mencari Norfariha Abdul Mutalib, 14, anak bongsu daripada tiga beradik sebelum mendukungnya dan berlari menyelamatkan diri ke kawasan tinggi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Disember 2014 @ 8:59 AM