ROSMAH    bersama   Heng (tiga dari kanan)   dan  sebahagian ketua  biro pusat peringkat negeri dan bahagian  pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita 1Malaysia di Wisma MCA,  semalam.
ROSMAH bersama Heng (tiga dari kanan) dan sebahagian ketua biro pusat peringkat negeri dan bahagian pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita 1Malaysia di Wisma MCA, semalam.
Oleh Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Sebanyak 205 Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita 1Malaysia ditubuhkan bagi membolehkan golongan wanita teraniaya di negara ini mendapatkan khidmat nasihat perundangan.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata, inisiatif itu diambil berikutan peningkatan kes jenayah membabitkan kaum wanita sejak kebelakangan ini.

“Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes jenayah membabitkan kaum wanita sebagai mangsa menunjukkan peningkatan iaitu secara purata mencatatkan 3,000 kes keganasan direkodkan setiap tahun.

“Setakat April lalu, 1,353 kes keganasan berbentuk domestik dan penderaan seksual terhadap wanita dicatatkan, manakala 3,488 kes bagi 2012 dan tahun sebelumnya mencatatkan 3,277 kes,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Pelancaran Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita 1Malaysia di Wisma MCA, di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie dan Pengerusi Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia Tan Sri Ng Yen Yen.

Rosmah berkata, statistik itu jelas membuktikan keganasan terhadap wanita amat serius dan memerlukan perhatian sewajarnya.

“Akibat kejahilan mengenai hak perundangan mereka, kaum wanita teraniaya dan menderita selama ini, malah ramai dalam kalangan mereka memilih untuk terus dizalimi dan berserah kepada nasib semata-mata.

“Disebabkan itu, Pusat Khidmat Guaman dan Bantuan Wanita 1Malaysia atau lebih dikenali sebagai LAWA (Legal Aid and Women’s Advisory Centre) yang pertama ditubuhkan di negara ini diwujudkan dengan menggabungkan pusat khidmat kaunseling yang terdiri daripada pakar dalam bidang perundangan,” katanya.

Katanya, bagi memastikan khidmat guaman undang-undang syariah, sivil dan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling yang terbaik kerjasama erat dilakukan dengan PDRM, Jabatan Bantuan Guaman Jabatan Perdana Menteri, Majlis Peguam Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Persatuan Kaunseling Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 8:29 AM