RAMAI wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
RAMAI wanita menjadi mangsa keganasan rumah tangga.
Muhamaad Razis Ismail

Sebelum ini, Harian Metro pernah melaporkan kehilangan dan pengurangan punca pendapatan selain tekanan duduk rumah menjadi penyumbang kepada peningkatan keganasan serta penderaan terhadap wanita di negara ini sejak penularan pandemik Covid-19.

Justeru itu, banyak kes yang dilaporkan membabitkan ramai wanita menjadi mangsa penderaan secara fizikal, mental dan emosi.

Kebanyakannya tidak tahu apa hak mereka dan bagaimana mendapatkan pembelaan sewajarnya daripada institusi perundangan.

Selain itu, masih ramai dalam kalangan wanita tidak membawa perkara ini ke muka pengadilan disebabkan tidak mampu membayar yuran guaman profesional yang mencecah ribuan ringgit bagi setiap kes yang dibuka.

Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Sheikh Mohamed berkata, ramai wanita yang menjadi mangsa bukan sahaja penderaan fizikal, malah mental sepanjang pandemik Covid-19.

"Saya ada terima kes di mana wanita ini berdepan tekanan emosi apabila suami selalu bermain permainan video sehingga mengabaikan keluarga.

"Wanita ini berhasrat untuk meminta cerai, namun kami memberi nasihat untuk menyelesaikan masalah terbabit sebelum berlaku perkara lebih serius," katanya ketika pelancaran Kempen Care2gether Moelife #kamipeduli secara maya.

KWIM aktif menjalankan pelbagai program.
KWIM aktif menjalankan pelbagai program.

Kempen ini membantu wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dengan membiayai yuran guaman syariah untuk memfailkan tuntutan hak wanita dan isteri di mahkamah syariah di Malaysia.

Hadir sama, Pengasas Moelife, Muhammad Abdullah dan Penasihat Kehormat KWIM, Sharifah Shawati Syed Mohd.

Mengulas lanjut, sehingga kini masih ramai wanita yang berdepan masalah ini tidak mengetahui hak mereka mengikut lunas undang-undang.

"Justeru, kami bekerjasama dengan pihak Moelife menjalankan kempen ini untuk membantu memberi khidmat guaman secara percuma kepada mangsa keganasan rumah tangga.

"Kempen ini bertujuan melindungi wanita teraniaya melalui teras undang-undang supaya keadilan dapat ditegakkan, sekali gus dapat memastikan kelancaran melindungi institusi kekeluargaan," katanya.

Menurutnya, untuk perancangan jangka panjang, pihaknya akan terus membantu mangsa keganasan rumah tangga meneruskan hidup menerusi pelbagai program dilaksanakan KWIM.

"Selepas mendapat pengadilan di mahkamah, kami akan membantu mereka untuk menjana pendapatan termasuk program Burgernita, ejen pesan hantar dan sebagainya," katanya.

Sementara itu, Muhammad berkata, pihaknya terpanggil untuk bersama-sama KWIM membantu wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga mendapat pembelaan sewajarnya.

"Saya memahami ada dalam kalangan wanita berdepan masalah kewangan untuk membawa kes ke mahkamah," katanya yang memaklumkan kempen selama tiga bulan ini yang bermula 1 September lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 6:20 AM