KERETA Toyota Avanza  yang terbabas akibat minyak   tumpah dan merempuh belakang bas.
KERETA Toyota Avanza yang terbabas akibat minyak tumpah dan merempuh belakang bas.
   KEADAAN bas ekspres      yang  terbabit nahas, semalam.
KEADAAN bas ekspres yang terbabit nahas, semalam.

Alor Gajah: Seramai 26 penumpang bas ekspres melalui detik cemas selepas bas kenderaan itu diheret sejauh satu kilometer (km) selepas ‘terlekat’ di belakang treler di Kilometer 212.8, Lebuhraya Utara-Selatan, arah utara, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.40 pagi itu, bas dipandu Ahya Abdul Karim, 40, dikatakan merempuh belakang treler tanpa muatan sebelum diheret kenderaan itu.

Sumber berkata, bas ekspres itu dipercayai cuba memotong treler di lorong kiri sebelum hilang kawalan dan terlanggar belakang kenderaan berat terbabit menyebabkan kedua-dua kenderaan itu ‘melekat’.

“Suasana bertambah cemas apabila pemandu treler dipercayai tidak menyedari bas melekat di belakang kenderaan dipandu menyebabkan dia meneruskan perjalanan seperti biasa.

“Penumpang bernasib baik apabila bas terbabit terlepas dan terbabas lalu merempuh besi penghadang kiri lebuh raya,” katanya di sini, semalam.

Dia berkata, pada masa sama pemandu treler dipercayai baru menyedari kejadian berhenti untuk menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Ahya berkata, dia yang memandu di lorong kiri melihat treler dan mengubah haluan ke lorong tengah untuk memotong.

“Bagaimanapun, bas terlanggar belakang treler menyebabkannya tersangkut sebelum diheret. Saya membunyikan hon, namun tidak didengari pemandu treler hingga sejauh satu kilometer.

“Keadaan mula cemas apabila sebahagian penumpang yang tidur melambung di tempat duduk masing-masing lalu menjerit ketakutan sebelum pembantu pemandu menenangkan mereka,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, dia cuba menekan brek malangnya tidak berfungsi sebelum bas terlepas dari belakang treler dan merempuh besi penghadang sebelah kiri lebuh raya.

Menurutnya, selepas keadaan reda dia dan pembantu pemandu meminta semua penumpang yang tidak cedera itu turun berlindung di belakang penghadang kiri lebuh raya sementara menunggu bas ganti.

“Tidak lama kemudian bas ganti tiba dan pada masa sama Toyota Avanza dipandu seorang lelaki tiba-tiba terbabas selepas terlanggar minyak yang tumpah dan merempuh belakang bas serta seorang penumpang, Tai Lai Kam, 50.

“Akibat rempuhan itu, mangsa patah kaki kiri serta cedera di tengkuk dikejarkan ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Difahamkan, bas itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Ipoh, Perak dan semua penumpang dan pemandu berasal dari negara itu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf mengesahkan kemalangan itu sehingga menyebabkan seorang penumpang bas wanita cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Disember 2014 @ 9:07 AM