LOKASI bas rempuh belakang treler. FOTO ihsan Polis
LOKASI bas rempuh belakang treler. FOTO ihsan Polis
Nuraliawati Sabri

Alor Gajah: Pemandu maut manakala enam penumpang cedera apabila sebuah bas ekspres merempuh belakang treler di Kilometer 220.7 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, dekat sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.30 pagi itu, mangsa berusia 49 tahun maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, bas ekspres membawa tujuh penumpang itu dalam perjalanan dari Singapura menuju ke Terminal Bas Seremban, Negeri Sembilan.

Menurutnya, treler berkenaan dipandu lelaki berusia 52 tahun pula dari Melaka menghala ke Rawang, Selangor dan kedua-dua kenderaan terbabit dari arah sama.

"Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila bas terbabit merempuh belakang treler membawa muatan besi yang ketika itu berada di lorong pertama.

"Akibat rempuhan itu pemandu bas tersepit di tempat duduk pemandu, manakala enam daripada tujuh penumpang cedera antaranya mengalami luka di kepala dan patah kaki," katanya.

Katanya, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Rembau untuk rawatan, manakala mayat pemandu bas dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi bedah siasat.

"Siasatan dibuat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 11:43 AM