NUR Shahira  berkongsi kejayaan bersama ibunya sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-85.
NUR Shahira berkongsi kejayaan bersama ibunya sempena Istiadat Konvokesyen UiTM ke-85.
Ayusliza Azizan

Shah Alam: “Saya terkilan arwah bapa tidak dapat menyaksikan kejayaan hari ini (semalam), ” kata Nur Shahira Abu Bakar, 23, penerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat pada Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-85 di sini, semalam.

Nur Shahira yang juga penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) berkata, arwah bapanya pernah menyatakan hasrat untuk melihatnya melangkah kaki ke menara gading.

“Arwah bapa meninggal dunia tujuh tahun lalu akibat sakit jantung ketika saya berada di tingkatan empat. Pada waktu itu saya sangat sedih sehingga pelajaran juga terganggu.

“Sebelum ini saya bercita-cita melanjutkan pengajian ke luar negara namun keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak begitu baik akibat rasa sedih kehilangan arwah bapa yang tidak melayakkan saya,” katanya yang berasal dari Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Semangat anak bongsu daripada 10 orang adik beradik itu bagaimanapun kembali pulih selepas menyambung pengajian pada peringkat diploma di UiTM Lendu Melaka sehingga berjaya meraih ANC.

Nur Shahira yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.73 berkata, sikapnya yang suka bertanya ketika kuliah sehingga menjadi rujukan rakan lain membuatkannya mampu mengingati apa yang sudah dipelajari.

“Saya tidak suka membaca sehingga menyebabkan ibu risau namun kini saya sudah buktikan belajar cara sendiri juga boleh berjaya.

“Selepas ini saya mahu menyambung pengajian ke peringkat sarjana bagi memenuhi cita-cita menjadi pensyarah satu hari nanti, ” katanya.

Sementara itu, ibu Nur Shahira, Kechik Hamid, 68, berkata, dia sangat gembira kerana doanya termakbul untuk menyaksikan anak bongsunya menerima ijazah.

Katanya, perasaan gembira serta terharu bercampur-baur kerana penat lelahnya membesarkan semua anak-anaknya sehingga berjaya ke menara gading.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Oktober 2016 @ 9:01 AM