SUKARELAWAN bergotong-royong membersihkan SK Temai. FOTO Mohd Rafi Mamat
SUKARELAWAN bergotong-royong membersihkan SK Temai. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Pekan: Lebih 100 sukarelawan terdiri daripada guru, ibu bapa dan penduduk kampung bergotong-royong membersihkan Sekolah Kebangsaan (SK) Temai, di sini, hari ini.

SK Temai adalah sekolah pertama di daerah ini terjejas akibat banjir minggu lalu.

Gotong-royong anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan dan SK Temai turut disertai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pekan serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pekan.

Pegawai PPD Pekan, Mohd Razali Mustafar berkata, kejadian banjir kali ini tidak seburuk sebelum ini walaupun 'air termenung' lebih seminggu dalam kawasan sekolah.

Katanya, kesan lumpur yang melekat pada lantai dan dinding sekolah tidak terlalu tebal berbanding kejadian banjir tahun lalu apabila banjir berlaku dua kali.

"Boleh dikatakan setiap tahun apabila banjir berlaku di daerah ini, program bergotong-royong membersihkan SK Temai terpaksa diadakan dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan.

"Pembabitan pelbagai pihak dapat meringankan beban pihak sekolah untuk membersih kekotoran terutama lumpur," katanya, di sini hari ini.

Sementara itu guru besar SK Temai, Rasulahmanis Hussain berkata, program hari ini lebih kepada mencuci lumpur nipis yang kering.

"Lumpur hanya terdapat pada lantai dan dinding sekolah saja. Peralatan sekolah lain terlebih dulu kita dipindahkan ke tingkat dua bangunan sebelum cuti persekolahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 4:23 PM