ABDUL Rahman  (tiga dari kiri) bersama Dr Dahlia (kanan) dan Arpah  (dua kanan) pada majlis pelancaran  Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Habitat Sedunia 2014.
ABDUL Rahman (tiga dari kiri) bersama Dr Dahlia (kanan) dan Arpah (dua kanan) pada majlis pelancaran Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Habitat Sedunia 2014.

Kuala Lumpur: Konsep perbandaran sosial harus diberi penekanan secara meluas dan diintegrasikan dalam perancangan fizikal bandar supaya hasil pembangunan dapat dinikmati semua peringkat golongan.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, ketiadaan konsep ini mewujudkan jurang pemisah dalam menikmati pembangunan negara.

“Ini secara tidak langsung akan mewujudkan masalah dan isu kemiskinan seperti golongan terpinggir, tidak mampu memiliki rumah sendiri, gelandangan selain sukar mendapat kemudahan asas, akses pengangkutan awam dan sebagainya.

“Keadaan ini menimbulkan ketidakpuasan hati terhadap peranan pihak berkuasa tempatan dan pemerintah dalam membangunkan bandar sejahtera.

“Sudah tiba masanya perancang bandar dan desa, pentadbir pihak berkuasa tempatan serta pengurus bandar mengaplikasikan pendekatan berkenaan dalam mewujudkan pembangunan bandar saksama supaya memenuhi kehendak semua golongan,” katanya, pada Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Habitat Sedunia 2014 di Hotel Berjaya Times Square di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Arpah Abdul Razak serta Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia Dr Dahlia Rosly.

Abdul Rahman turut mengumumkan Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada penganjuran Forum Bandar Sedunia kesembilan pada 2018 yang akan disertai 20,000 pakar perbandaran antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:06 AM