Kuala Lumpur: Kerajaan akan membina 500 unit rumah kos rendah di Cameron Highlands tahun depan bagi membantu mangsa yang terjejas dalam kejadian banjir dan tanah runtuh di Kampung Ringlet di Cameron Highlands pada 5 November lalu.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, bagaimanapun pemilihan penduduk yang layak menduduki rumah dibina melalui Projek Perumahan Rakyat (PPR) itu akan diputuskan sendiri kerajaan negeri Pahang.

“Kementerian ingin membantu dan kita merancang bina 500 PPR di kawasan itu (Cameron Highlands). Pembinaan dijangka mengambil masa lebih dua tahun.

“Oleh itu, saya akan berbincang dengan kerajaan negeri dan pemimpin setempat di mana lokasi sesuai patut kita letak untuk bina PPR itu,” katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia dan Hari Habitat Sedunia 2014 di Hotel Berjaya Times Square di sini, semalam.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Arpah Abdul Razak dan Ketua Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Semenanjung Malaysia Dr Dahlia Rosly.

Pada perkembangan lain, Abdul Rahman berkata berkuatkuasa tahun depan, pendekatan konsep Bina Kemudian Jual (BKJ) tidak akan diwajibkan kepada pemaju perumahan sebagai langkah mengelakkan harga rumah meningkat dengan mendadak.

“Dalam keadaan kita berdepan dengan penawaran rumah begitu kritikal konsep BKJ walaupun baik iaitu mengatasi masalah projek perumahan terbengkalai akan tetap mengurangkan penawaran rumah dalam negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 November 2014 @ 5:08 AM