NAGAM kudung dua kaki selepas terkena  serangan udara tentera Bashar pada 2015.
NAGAM kudung dua kaki selepas terkena serangan udara tentera Bashar pada 2015.
Tuan Asri Tuan Hussein

Sepanjang minggu ini kebanyakan rakyat Malaysia berada dalam suasana ceria kerana meraikan perayaan berganda ‘tiga dalam satu’ iaitu kejayaan menganjurkan Sukan SEA ke-29 dengan cemerlang dan muncul juara, sambutan Hari Kebangsaan 2017 dan Aidiladha.

Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada malam Khamis lalu menjadikan jumlah cuti umum dan hujung minggu pada minggu ini bertambah kepada lima hari, menambahkan lagi keseronokan.

Pelbagai mesej, gambar dan video bersama kata-kata gembira serta gurauan masuk ke aplikasi WhatsApp di telefon bimbit saya sejurus selepas itu, menyebabkan saya hanya tersenyum sendirian.

Namun, dalam seronok melayan pelbagai jenis mesej yang masuk bertalu-talu, ada satu mesej berserta klip video berdurasi hampir tiga minit yang tiba-tiba menyentap sanubari saya.

Ia kiriman penuntut rakyat Malaysia yang kini bermastautin di Gaza, Palestin Nadir Al-Nuri Kamaruzaman yang juga pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Cinta Gaza Malaysia. Berikut antara kandungan mesej Nadir:

“Antara ujian paling besar dihadapi rakyat Gaza pada masa ini ialah kekurangan ubat-ubatan. Bayangkan, ibu atau anak yang sakit kanser, mati perlahan-lahan di depan mata.

Setiap hari ada saja yang mengetuk pintu rumah kami, memohon bantuan ubat untuk anak yang menghidap leukimia atau si isteri yang mengandung tetapi berkali-kali gugur dan terpaksa menelan pil Clexane yang tidak mampu dibeli.

Justeru pada Hari Arafah yang mulia ini, kami mengambil peluang melancarkan Tabung Bantuan Perubatan Gaza. Manalah tahu ada dermawan yang sudi berkongsi harta.

Dalam berpuasa, membaca al-Quran dan menyembelih haiwan korban, sempurnakanlah dengan tuntutan peduli umat seagama.

Hulurkan sumbangan ke akaun Persatuan Cinta Gaza Malaysia, Maybank 5648 1050 7826 dan WhatsApp kepada saya +60197095092 (Nadir Al-Nuri) yang menjadi saksi mata kepada kematian anak-anak Gaza.”

Anda boleh melihat video yang dihasilkan Nadir melalui akaun Facebooknya (Nadir Al-Nuri menerusi link http://bit.ly/2eoXWz4).

Mesej daripada Nadir mengingatkan saya kepada mesej yang saya terima daripada seorang kenalan warga Syria, Muhammad Khatib yang juga wakil Muslim Care Malaysia Society dan berpangkalan di Reyhanli, bandar sempadan Turki-Syria.

Mesej beliau saya terima pada 24 Ogos lalu yang antara lain meminta Harian Metro terus menyiarkan berita mengenai penderitaan rakyat Syria yang sudah lebih enam tahun terperangkap dalam kancah peperangan menentang kezaliman Presiden Bashar al-Assad.

Muhammad Khatib turut menitip kisah kegigihan seorang wanita dari Idlib, Syria Nagam Abdul Aziz, 25, yang kudung kedua-dua kaki akibat terkena serangan udara tentera Bashar pada 2015.

Di sebalik kecacatan dialaminya, Nagam tidak mahu menerima sebarang sumbangan kewangan atau perubatan tetapi amat komited menjadi guru di sekolah kelolaan Muslim Care khusus kepada anak-anak pelarian Syria di Reyhanli.

Pagi semalam, saya menerima pula satu “Mesej Khas Kepada Muslimin Yang Melakukan Ibadat Korban Tahun Ini” yang ditulis Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Antara lain, Mohd Azmi mengingatkan umat Islam di Malaysia supaya jangan melupakan nasib saudara seagama Rohingya di Myanmar yang terkorban akibat penindasan dan kezaliman.

“Apakah erti berkorban jika anda tidak prihatin dan peduli terhadap nasib saudara segama yang dikorbankan. Kini, puluhan ribu Muslimin Rohingya dizalimi di Myanmar. Mereka diburu, dibunuh dan perkampungan diserang dan dimusnahkan.

“Di saat umat islam Malaysia berkorban haiwan, Muslimin di Arakan kebuluran kerana melarikan diri ke hutan. Kita tidak boleh menumpu kepada ganjaran amal korban untuk diri masing-masing semata-mata.

“Tetapi kita perlu turut menyalurkan pengorbanan untuk disumbang kepada saudara kita yang ditindas di Myanmar,” kata Mohd Azmi di dalam mesejnya.

Tiga mesej daripada tiga rakan yang mewakili tiga kelompok umat Islam yang kini dalam kesengsaraan benar-benar menginsafkan dan membuat saya termenung jauh.

Kita kini gembira merayakan ulang tahun kemerdekaan negara dan menyambut Hari Raya Korban. Ya, merdeka dan pengorbanan, dua kalimah yang ada perkaitan serta makna yang amat mendalam.

Namun, bagi saya kita hanya tahu mengucapkannya. Kebanyakan kita belum faham dan mungkin tak akan faham apa erti sebenar merdeka dan pengorbanan.

Erti merdeka bagi kita mungkin hanya berseronok dengan hari cuti yang bertambah untuk terus berehat dan bersantai.

Hari raya korban pula ertinya mungkin sekadar bergembira menikmati daging percuma untuk dijadikan juadah sebelum merakam gambar dan memuat naik ke media sosial untuk dikongsi bersama rakan.

Maafkan saya jika tulisan ini meragut kegembiraan yang anda sedang nikmati ketika ini. Tetapi saya perlu melakukannya untuk menyampaikan hasrat dan pesanan daripada rakan yang prihatin kepada mereka yang mungkin terlupa.

Hakikatnya, kita memang mudah terlupa. Kita mungkin alpa kerana kita tidak pernah melalui apa yang dilalui sahabat kita di Palestin, Syria dan Arakan.

Jangan lupakan mereka, bantu mereka, ambil pengajaran daripada kisah mereka kerana itu semua perlu jika kita tidak mahu menjadi seperti mereka.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 September 2017 @ 10:34 AM