NAEEM menceritakan semangat kental perjuangan rakyat Palestin dan diterjemahkan oleh Nadirn (kiri) di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, malam tadi.
NAEEM menceritakan semangat kental perjuangan rakyat Palestin dan diterjemahkan oleh Nadirn (kiri) di Masjid Al-Hasanah, Bandar Baru Bangi, malam tadi.
Tuan Asri Tuan Hussein

Selepas lebih dua tahun mengikuti perkembangannya dari jauh, menerusi Internet dan pelbagai platform media sosial, akhirnya kelmarin saya diizinkan Allah berjumpa serta berbual dengan anak muda ini.

Muhammad Nadir Al-Nuri Kamrulzaman namanya. Berusia 29 tahun dan berasal dari Bangi, Selangor. Dia anak Malaysia tapi kini mengabdikan seluruh hidup, jiwa dan raganya untuk membantu rakyat Palestin di Gaza.

Mengimbas sedikit latar belakangnya, Nadir, berkelulusan ijazah sarjana muda Sains Marin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan berhijrah ke Syria pada 2010 untuk menyambung pelajaran dalam bidang pengajian Islam.

Apabila peperangan tercetus di negara itu pada 2011, ramai penuntut dari luar Syria termasuk Malaysia terpaksa menamatkan pengajian. Ada yang kembali ke negara asal atau menyambung pengajian ke negara lain.

Begitu juga Nadir, namun istimewanya, dia memilih untuk menyambung pengajian dalam bidang Syariah di Universiti Islam Gaza yang terletak di negara bergolak Palestin. Ditanya mengapa dia berbuat demikian, kata Nadir dia mahu tetap berada di bumi yang diberkati Allah.

Sejak berada di Gaza pada 2013, Nadir tidak hanya belajar tapi turut aktif melakukan aktiviti kemanusiaan serta kebajikan, malah mengasaskan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

Dentuman bom, tangisan rakyat Palestin, kematian dan hanyir darah kini sudah sebati dengan Nadir. Semua itu tidak sedikitpun menimbulkan gerun, sebaliknya menambahkan lagi semangatnya untuk berbakti di bumi Palestin.

Malah, Mei lalu Nadir membuat sedikit kejutan apabila berkahwin dengan balu beranak lima. Bekas suami wanita itu adalah pejuang dari briged komando elit al-Qasam yang syahid di medan pertempuran.

Kata Nadir, dia memutuskan untuk mengahwini wanita itu supaya lebih mudah beramal. Dan kelmarin, Nadir hadir ke pejabat saya bersama anak tiri sulungnya, Naeem yang berusia 16 tahun.

Menurutnya, sudah lebih dua bulan dia berada di Malaysia bersama isteri dan anak-anak kerana masih belum boleh pulang ke Gaza, berikutan pintu masuk ke negara itu di sempadan Mesir-Palestin masih ditutup.

“Kami memang ingin segera pulang ke Gaza..insya-Allah bila dapat maklumat pintu sempadan dibuka, kami akan segera ke sana,” katanya.

Sepanjang berada di tanah air, Nadir tidak duduk diam. Dia sudah menjelajah ke lebih 100 masjid dan surau di seluruh Malaysia untuk berceramah dan berkongsi pengalaman dengan tujuan utama, mengutip sumbangan untuk dibawa pulang ke Gaza.

Petang semalam ketika saya menelefonnya, Nadir membawa anak-anak Syria ke Petrosains di KLCC, selepas Maghrib dia dan Naeem akan memberi ceramah di sebuah masjid di Bangi dan pagi ini, dia dijadualkan memberi kuliah Duha di Masjid al-Ridzuan, Hulu Klang.

Nyata, biarpun berada di Malaysia jiwa Nadir tetap terpahat di Palestin. Kata Nadir, Alhamdulillah rakyat Malaysia sentiasa pemurah dan memberi sokongan kuat kepadanya.

“Tapi kutipan kali ini agak kurang jika dibandingkan dengan kutipan ketika Gaza diserang pada 2014,” katanya.

Nadir berkata, dia memerlukan sumbangan rakyat Malaysia untuk disalurkan kepada anak-anak syuhada di Gaza.

“Mereka perlukan makanan, pakaian dan pendidikan. Itulah yang Persatuan Cinta Gaza Malaysia usahakan untuk mereka dengan wang sumbangan rakyat Malaysia,” katanya.

Kepada yang membaca tulisan saya ini, marilah sama-sama kita menghulurkan sumbangan melalui akaun Maybank564810507826 (Persatuan Cinta Gaza Malaysia) dan menghantar mesej mengenai sumbangan ke Whatsapp 019-7095092. Biarpun cuma RM1 sumbangan kita, ia begitu besar ertinya kepada Nadir dan anak-anak Palestin…insya-Allah.

Penulis ialah Penulis Khas Kanan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 3:16 AM