MASYARAKAT kini lebih prihatin dan peka terhadap kebajikan haiwan.
MASYARAKAT kini lebih prihatin dan peka terhadap kebajikan haiwan.
Muhamaad Razis Ismail


KESEDARAN dalam kalangan masyarakat di negara ini terhadap kebajikan haiwan terutama kucing dilihat semakin meningkat.

Jika dibandingkan dengan spesies lain, kucing antara haiwan yang boleh diterima semua lapisan masyarakat.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam satu kenyataan berkata, ramai orang yang membela haiwan kesayangan terutama kucing dalam rumah sudah dianggap sebagai sebahagian daripada ahli keluarga mereka.

Katanya, apabila haiwan kesayangan dianggap sebagai anggota keluarga, pemilik menjadi lebih prihatin dan peka terhadap haiwan ini.

"Keperluan kehidupan haiwan kesayangan ini akan turut dijaga dengan baik sama seperti yang diberikan kepada ahli keluarga yang lain.

"Masyarakat Malaysia terkenal dengan sifat penyayang dan ihsan bukan sahaja sesama manusia, malah penerapan nilai insani ini turut diterapkan kepada makhluk seperti haiwan.

"Oleh itu, apabila mereka melihat haiwan dizalimi atau diabaikan, masyarakat memberi reaksi dan membuat tindakan segera bagi melindungi haiwan itu. Mereka sedaya upaya cuba menyelamatkan haiwan itu," katanya.

Mengulas lanjut, secara umumnya, DVS mengkelaskan dua kesalahan utama terhadap kes yang diterima iaitu kes penganiayaan dan kes kebajikan haiwan.

KESEDARAN dalam kalangan masyarakat terhadap kebajikan haiwan terutama kucing dilihat semakin meningkat.
KESEDARAN dalam kalangan masyarakat terhadap kebajikan haiwan terutama kucing dilihat semakin meningkat.

"Di bawah kes penganiayaan, jabatan banyak merekodkan kesalahan seperti membunuh, meracun, memukul, menyepak, menendang, melaga haiwan dan lain-lain perbuatan fizikal yang menyebabkan penderitaan dan kesakitan kepada haiwan.

"Manakala untuk kes kebajikan, jabatan menerima aduan seperti mengabaikan dengan tidak memberi makan minum yang mencukupi, meletakkan haiwan di persekitaran yang tidak sesuai, menyekat tabiat semula jadi haiwan, tidak merawat haiwan sakit, tidak melindungi haiwan sehingga terdedah kepada bahaya dan lain-lain perbuatan yang tidak mematuhi keperluan asas kebajikan haiwan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan data aduan yang diterima DVS, setiap hari pihaknya menerima kes aduan berhubung pengabaian dan penganiayaan terhadap haiwan termasuk aduan membabitkan kucing.

"Walaupun tidak semua kes yang diterima ini boleh disabitkan, tetapi bilangan aduan yang diterima ini membuktikan masyarakat Malaysia begitu sensitif terhadap isu pengabaian dan penganiayaan kepada haiwan.

"Malah, kadangkala ada aduan yang tidak berasas turut diadukan kepada jabatan semata-mata kerana masyarakat begitu prihatin kepada haiwan di sekeliling mereka," katanya.

Katanya, pada masa ini, Malaysia mempunyai satu perundangan khusus yang mengawal selia aktiviti membabitkan haiwan bagi tujuan menjaga kebajikan haiwan iaitu Akta Kebajikan Haiwan 2015.

KUCING dianggap sebagai sebahagian daripada ahli keluarga pemilik.
KUCING dianggap sebagai sebahagian daripada ahli keluarga pemilik.

"Penguatkuasaan akta ini turut memberi impak besar kepada masyarakat di negara ini di mana ia berjaya memberi kesedaran kepada rakyat supaya bertanggungjawab kepada haiwan dengan memastikan lima keperluan asas kebajikan haiwan dipenuhi," katanya.

Tambahnya, sejak Akta Kebajikan Haiwan 2015 mula dikuat kuasa di negara ini, jumlah aduan yang diterima semakin bertambah.

"Promosi yang dijalankan jabatan menyebabkan masyarakat semakin sedar kepentingan kebajikan haiwan di negara ini.

"Selain itu, penambahbaikan yang dibuat dalam pengurusan aduan secara dalam talian juga menyebabkan bilangan aduan yang diterima semakin bertambah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 6:30 AM