SEEKOR babi dipaksa melakukan terjunan bungee  sehingga mengundang kritikan masyarakat dunia. FOTO Agensi
SEEKOR babi dipaksa melakukan terjunan bungee sehingga mengundang kritikan masyarakat dunia. FOTO Agensi
Agensi

Beijing: Orang ramai mengecam tindakan individu tertentu yang mengikat seekor babi sebelum memaksa haiwan itu melakukan terjunan bungee di sebuah taman tema di daerah Fuling.

Daily Mail melaporkan, haiwan itu diikat tali sebelum ditolak dari sebuah menara dengan ketinggian 68 meter sambil meronta untuk dilepaskan daripada ikatan berkenaan.

Video tindakan kejam itu tular di laman sosial sejak semalam dan mengundang kritikan masyarakat dan pencinta haiwan terhadap kezaliman yang dilakukan kepada haiwan.

Namun di China, tiada undang-undang khas menghukum mana-mana pihak yang dikesan melakukan kezaliman terhadap haiwan.

Taman tema berkenaan dalam kenyataan memohon maaf atas insiden berkenaan dan memaklumkan haiwan itu sudah dihantar ke pusat penyembelihan.

Badan kebajikan terhadap haiwan (PETA) menggelar tindakan itu sebagai ‘menjijikkan’ dan ‘penganiayaan melampau’ terhadap haiwan.

Naib Presidennya, Jason Baker berkata, terjunan bungee adalah pengalaman yang menakutkan kepada manusia dan bagaimana tindakan sama tergamak dilakukan terhadap haiwan.

“Mereka menganggap tindakan ini sebagai satu yang melucukan namun apa yang dilihat adalah sebaliknya. Ramai yang mengecam tindakan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 8:00 AM