BAKA kuning yang turut dibela Mohd Rosdi.
BAKA kuning yang turut dibela Mohd Rosdi.
Hidayatidayu Razali


DEMI minat mendalam terhadap ayam serama, bekas pekerja syarikat insurans ini sanggup menghabis wang ringgit semata-mata mendapatkan baka terbaik.

Keistimewaan tersendiri yang dimiliki ayam bersaiz kecil itu membuatkan Mohd Rosdi Mohd Nor, 62, sanggup mencari baka ayam serama terbaik untuk dijadikan sebagai haiwan peliharaannya.

Mohd Rosdi, dari Kampung Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan berkata, dia bermula dengan dua ayam serama sahaja sebelum ia kini membiak.

"Pada awalnya saya hanya meminati dan membela ayam serama untuk suka-suka kerana penternakan ayam serama itu sekadar mengisi masa lapang selepas pulang dari kerja.

"Bagaimanapun, saya mula serius dengan hobi ini selepas berhenti kerja pada 2000.

"Tidak sangka, hobi yang sekadar mengisi masa lapang itu boleh juga mendatangkan pendapatan sampingan apabila anak ayam serama yang dibiakkan dibeli peminat ayam serama yang lain," katanya.

Menurut bapa kepada empat cahaya mata itu lagi, ayam serama mempunyai ramai peminat di negara ini kerana selain dijadikan sebagai haiwan belaan, ada yang memeliharanya untuk dikomersilkan.

ANTARA ayam serama yang dipelihara Mohd Rosdi.
ANTARA ayam serama yang dipelihara Mohd Rosdi.

Katanya, setakat ini, baka yang ada dalam koleksi adalah spesies mega, lancang kuning, poligon, James Bond, Sri Pekan dan rinting.

"Unggas ini senang dibela dan dijaga, selain itu kos makanannya juga tidak terlalu mahal.

"Kebiasaannya, saya meluangkan masa lebih dua jam sehari untuk memberi makanan, membersihkan reban dan melayan kerenah ayam serama," katanya.

MOHD Rosdi bersama ayam serama baka rinting.
MOHD Rosdi bersama ayam serama baka rinting.

Dalam pada itu, Mohd Rosdi berkata, seperti manusia, unggas itu juga tidak tahan dengan cuaca terlalu sejuk.

Kata Mohd Rosdi, cuaca yang terlalu sejuk berisiko menyebabkan ayam serama terdedah dengan penyakit sampar ayam Newcastle Disease (ND).

Justeru, itu dia meletakkan ayam serama belaannya dalam reban yang ditutup bagi mengelakkan ayam kesejukan.

"Jika terkena penyakit sampar ayam, unggas itu kurang selera makan, lemah dan murung.

"Kepala atau leher juga akan teleng akibat gangguan saraf dan sukar untuk bernafas.

"Kaki ayam juga akan menjadi kemerah-merahan, kepaknya jatuh dan berak kapur, menyebabkan risiko kematian meningkat," katanya.

BAKA 1400 juga dalam koleksi Mohd Rosdi.
BAKA 1400 juga dalam koleksi Mohd Rosdi.

Bagi mengelakkan penyakit itu, Mohd Rosdi turut memberi suntikan vaksin kepada ayam serama peliharaannya.

Dia juga menitikberatkan aspek kebersihan di sangkar peliharan ayam seramanya.

Ini kerana, ayam serama yang sihat menarik perhatian ramai dan boleh dijual.

Katanya, sebelum ini ayam peliharaannya dari baka James Bond pernah dibeli peminat dari Indonesia pada RM15,000.

Sementara itu, Mohd Rosdi turut menasihatkan peminat ayam serama supaya mendapatkan ilmu secukupnya sebelum memelihara unggas itu.

Ini kerana bakanya bukan murah dan boleh mendatangkan kerugian jika ia tidak dijaga dengan sebaiknya.

"Apa pun, selain sebagai hobi, ayam serama juga boleh memberi pendapatan kerana ia mempunyai ramai peminat dari dalam dan luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 Disember 2022 @ 7:00 AM