KECANTIKAN ayam ratu yang menambat hati peminat.
KECANTIKAN ayam ratu yang menambat hati peminat.
Hidayatidayu Razali


KECANTIKAN ayam ratu menambat hati ribuan peminatnya.

Ia bukan dipelihara sekadar hobi sebaliknya turut memberi pulangan pendapatan lumayan kepada pemiliknya.

Ini berikutan harga ayam ratu boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit seekor jika unggas itu mempunyai kecantikan fizikal dan sentiasa menang dalam pertandingan.

Fizikalnya unik berekor panjang memiliki warna menarik, bulunya berkilat dan lebih mudah dijaga.

Bagi Mohd Jalaluddin Abdul Ghani, 34, kelebihan yang ada pada unggas itu turut mendorong dirinya memelihara ayam ratu sejak lapan tahun lalu.

Katanya, sebelum ini dia bekerja di ibu negara dan pulang ke kampung halaman di Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan selepas mendapat tawaran pertukaran tempat kerja.

"Ketika itu abang dan adik saya sudah mula memelihara ayam ratu sebagai hobi.

"Bertitik tolak dari situ timbul minat dalam diri saya selepas melihat sendiri kecantikan unggas berkenaan," katanya.

Bapa dua anak itu berkata, ayam ratu yang paling disayanginya adalah dari baka Leung Hang Khao (LHK) berharga RM5,000 seekor dibeli dari negara jiran.

AYAM ratu baka LHK yang menjadi kesayangan.
AYAM ratu baka LHK yang menjadi kesayangan.

Katanya, ayam ratu itu kerap dibawa menyertai pelbagai pertandingan di seluruh negara termasuk negara jiran.

"Alhamdulillah, ayam ini juga sudah empat kali memenangi pertandingan.

"Selain memenuhi hobi di masa lapang, memelihara ayam ratu ini juga menjana pendapatan untuk saya bagi menyara keluarga," katanya.

Menurut Mohd Jalaluddin lagi, penjagaan ayam ratu juga mudah dan tidak rumit kerana ia seperti penjagaan ayam kampung biasa, hanya perlu diberi dedak yang mencukupi.

Selain itu, katanya, ayam ratu juga diberi makan multivitamin bagi memastikan bulunya kekal berkilat, cantik dan sihat.

"Penjagaan kecantikan fizikal dan kesihatan ayam ratu penting bagi memastikan harga pasarannya sentiasa naik dan diminati ramai, selain dapat memenangi pertandingan.

"Kawasan reban ayam itu perlu dicuci secara berkala dan ia juga perlu dimandikan beberapa kali seminggu," katanya.

Suami Norafikah Samad, 33, itu berkata, dia beruntung kerana isterinya sentiasa memberi sokongan penuh terhadap hobi berkenaan.

Katanya, ini berikutan ayam ratu yang dibelanya kerap memberi 'tuah' kepada keluarganya kerana sentiasa menang dalam pertandingan dan menjadi sumber pendapatan sampingan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mac 2024 @ 6:30 AM