WARNA baharu tambah pilihan menarik untuk model Honda.
WARNA baharu tambah pilihan menarik untuk model Honda.
Lizam Ridzuan


BAGI tampil lebih muda dan menyerlah, warna baharu diperkenalkan buat model Honda membabitkan Jazz, City dan CR-V oleh pengedar utamanya, Honda Malaysia.

‘Passion Red Pearl’ adalah warna yang mula ditawarkan untuk model HR-V pada awal 2019 dan ia menggantikan ‘Carnival Red’ untuk Jazz, ‘Dark Ruby Red’ (City) dan ‘Obsidian Blue Pearl’ (CR-V).

Warna baharu itu juga menjadi pilihan kebanyakan pembeli yang menyumbang kepada 30 peratus jualan untuk model HR-V.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Honda Malaysia, Toichi Ishiyama berkata, pengenalan warna baharu untuk tiga model Honda itu menjadikan pilihan buat pengguna lebih menarik serta bergaya.

“Ketiga-tiga model itu menyumbang sebanyak 62 peratus jualan untuk suku pertama tahun ini yang menjadikan Honda sebagai pendahulu jualan kenderaan jenama bukan tempatan di negara ini,” katanya.

Ia menjadikan jualan keseluruhan 28,000 unit diantara Januari dan April 2019 meletakkan ia pada kedudukan kedua dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) di negara ini.

HONDA City generasi keempat yang dikuasakan dengan enjin 1.5L i-VTEC adalah model paling tinggi jualannya.
HONDA City generasi keempat yang dikuasakan dengan enjin 1.5L i-VTEC adalah model paling tinggi jualannya.

Honda City generasi keempat yang dikuasakan dengan enjin 1.5L i-VTEC adalah model paling tinggi jualannya dan ia membolehkan Honda kekal sebagai pendahulu dalam segmen-B.

Model Jazz sebagai hatchback popular dilengkapi dengan ruang kargo yang fleksibel selain ‘Ultra Seats’ empat larasan. Model ini tampil sebagai kenderaan yang praktikal.

Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) CR-V pula dikuasakan dengan enjin 1.5L VTEC Pengecas Turbo serta CVT selain ciri keselamatan termaju Honda Sensing.

Model dengan warna baharu boleh didapati di kesemua 98 pengedar sah Honda di seluruh negara.

Maklumat lanjut boleh diperoleh di www.honda.com.my

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2019 @ 5:30 AM