APPLE menerusi iPhone 15 Pro dan Pro Max mempunyai keupayaan kesan grafik ‘Ray Tracing’ yang digunakan untuk judul permainan kelas konsol dan desktop.
APPLE menerusi iPhone 15 Pro dan Pro Max mempunyai keupayaan kesan grafik ‘Ray Tracing’ yang digunakan untuk judul permainan kelas konsol dan desktop.
Muhammad Saufi Hassan


Segmen permainan sememangnya bakal menjadi potensi ekonomi dunia apabila merekodkan jumlah transaksi melebihi RM70 bilion untuk tahun lalu bagi seluruh dunia.

Daripada jumlah berkenaan, segmen permainan mudah alih atau berasaskan kepada peranti pintar adalah penyumbang paling besar, sekali gus memberi gambaran bahawa permainan dalam peranti pintar mempunyai potensi lebih besar.

Pada masa sama, evolusi peranti pintar juga banyak menyumbang kepada keupayaan pengalaman permainan persis permainan konsol apabila ia sudah dilengkapi dengan unit pemproses grafik (GPU) yang setara.

Peneraju teknologi dunia, Apple antara contoh terbaik apabila menghasilkan peranti pintar ikonik mereka iaitu daripada generasi iPhone 15 Pro serta variasi Pro Max yang menyokong teknologi kesan grafik 'Ray Tracing' yang sebelum ini dipelopori oleh pengeluar cip GPU terkemuka, Nvidia GeForce.

Menerusi dua variasi berkenaan, ia dikuasakan dengan cip A17 Pro dengan binaan tiga nanometer (nm) iaitu cip pertama yang dibina menerusi binaan berkenaan.

Cip pemproses berkenaan memberikan peningkatan pada keseluruhan cip termasuk reka bentuk semula GPU terbesar dalam sejarah penciptaan cip Apple.

Unit Pemproses Pusat (CPU) baharu ini juga memberikan keupayaan lebih sehingga 10 peratus lebih pantas dengan penambahbaikan binaan mikro dan reka bentuk bersama enjin neural yang memberikan talaan kuasa dua kali lebih baik.

Pada masa sama, ia membolehkan peranti baharu keluaran Apple berkenaan iaitu iPhone 15 Pro dan Pro Max yang dikuasakan dengan cip A17 Pro melancarkan permainan kelas konsol.

Antara permainan berkenaan adalah Resident Evil Village, Residen Evil 4, Death Stranding dan Assassin's Creed Mirage.

Semua judul permainan berkenaan adalah judul kelas konsol serta desktop dan keupayaan untuk melancarkan permainan itu memberi dimensi baharu dalam landskap permainan mudah alih.

Sebelum ini, kebanyakan permainan yang dilancarkan dalam platform mudah alih mempunyai kesan visual yang terhad dan tidak begitu realistik seperti platform konsol atau desktop.

Cip A17 Pro ini turut didatangkan dengan penyahkod AV1 membolehkan pengalaman video berkualiti tinggi yang lebih cekap untuk perkhidmatan penstriman.

Selain itu, pengawal USB baharu mampu untuk mendayakan kelajuan USB 3 pada iPhone buat kali pertama, kini menyokong kelajuan pemindahan dan output video yang lebih tinggi sehingga 4K pada 60 fps HDR.

Hasil ciptaan baharu Apple berkenaan memberi gambaran bahawa masa depan permainan banyak dipengaruhi segmen mudah alih kerana pemain segmen itu sanggup melakukan pelbagai transaksi.

Tabiat pemain mudah alih ini sangat cenderung dengan pelbagai jenis transaksi sama ada berbentuk karakter kosmetik sehingga kepada konsep permainan 'Pay To Win' yang banyak digunakan untuk genre permainan mudah alih.

Pastinya lebih banyak lagi kesan visual yang selama ini dinikmati pengguna konsol atau desktop mula diaplikasikan tidak lama lagi untuk segmen peranti pintar.

Mungkin untuk beberapa tahun akan datang, penerbit permainan mula melancarkan permainan terbitan mereka di semua tiga platform utama iaitu desktop, konsol dan peranti pintar.

Ia memberikan landskap baharu kepada dunia permainan hasil daripada kemajuan teknologi semasa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 7:00 AM