Muhammad Saufi Hassan

Apple melancarkan telefon pintar paling ikonik keluaran mereka iaitu generasi iPhone 13 dengan penggunaan cip pemproses baharu iaitu Apple A15 Bionic.

Cip pemproses binaan 5nm berkenaan memberikan keupayaan prestasi lebih baik berbanding generasi terdahulu.

Meneruskan tradisi barisan iPhone, dua variasi kelas tinggi iaitu iPhone 13 Pro serta Max diperkenalkan bersama-sama dengan iPhone 13 dan versi Mini.

Bagi variasi iPhone Pro dan Pro Max, kedua-dua peranti berkenaan menggunakan paparan Super Retina XDR bersama-sama teknologi ProMotion dengan skrin adaptif kadar segar semula 120Hz.

Teknologi berkenaan juga membolehkan keupayaan iPhone 13 mampu melaksanakan pelbagai tugasan seperti fungsi fotografi makro dengan kamera sudut ultra lebar.

Ia mampu memperbaiki prestasi ketika pencahayaan kurang sehingga 2.2 kali lebih baik dan peranti ini juga dilengkapi dengan pelindung skrin seramik di bahagian depan.

Kedua-dua versi ini didatangkan dengan empat pilihan warna iaitu graphite, gold, silver dan warna baharu sierra blue.

TAWARAN empat warna iPhone 13 Pro dan versi Pro Max
TAWARAN empat warna iPhone 13 Pro dan versi Pro Max

Pada masa sama, dua variasi lain iaitu iPhone 13 dan versi Mini turut dilancarkan yang juga menggunakan cip pemproses sama digunakan oleh versi Pro dan Max.

Skrin paparan untuk iPhone 13 serta Mini ini adalah Super Retina XDR OLED termasuk padanan perkakas termaju memberikan pengalaman baharu kepada pengguna.

Tanda harga bagi iPhone 13 Pro adalah RM4,899 manakala untuk versi Pro Max adalah RM5,299.

Kedua-dua variasi itu mempunyai konfigurasi storan 128GB, 256GB, 512GB serta tetapan baharu pada 1TB dan pra tempahan boleh dibuat bermula Jumaat ini.

Untuk iPhone 13, harga ditawarkan pada RM3,899 manakala untuk iPhone 13 Mini pula adalah RM3,399.

APPLE iPhone 13
APPLE iPhone 13

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 September 2021 @ 7:33 AM