APPLE masih mengekalkan empat variasi iPhone 13 termasuk keluaran mini pada kali ini.
APPLE masih mengekalkan empat variasi iPhone 13 termasuk keluaran mini pada kali ini.
Muhammad Saufi Hassan


PELOPOR teknologi peranti mudah alih, Apple memperkenalkan telefon pintar paling ikonik mereka iaitu generasi iPhone 13, malah ia sudahpun memasuki pasaran tempatan sejak Jumaat lalu.

Sejak pengenalan peranti itu dibuat pada September lalu, Apple sekali lagi menambah ciri baharu kepada peranti mereka biarpun masih menggunakan rekaan sama seperti iPhone 12.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan adalah keupayaan kamera yang dipertingkatkan termasuk mod 'Cinematic', penggunaan skrin 'ProMotion' dengan kadar segar semula 120Hz, skrin takuk yang lebih kecil dan banyak lagi.

Peranti berkenaan sememangnya dinanti-nantikan oleh penggemar jenama berkenaan kerana setiap tahun Apple tanpa gagal memberikan nafas baharu dalam segmen teknologi mudah alih, malah menjadi penanda aras kepada semua peranti lain.

Pandang pertama penulis terhadap peranti ini memperlihatkan pilihan warna yang begitu elegan serta 'vibran' dan kali ini, Apple masih mengekalkan pengeluaran iPhone 13 Mini mereka.

Apple bijak mengambil peluang segmen pasaran peranti bersaiz kecil di negara ini kerana menghasilkan telefon pintar bersaiz mini, namun padanan spesifikasi bersifat 'gergasi'.

Kebiasaannya, pengeluar telefon pintar akan membuat padanan spesifikasi lebih rendah untuk peranti bersaiz mini, namun Apple tidak melakukan pendekatan berkenaan sebaliknya menggunakan cip pemproses yang sama digunakan variasi iPhone 13 Pro serta versi Pro Max.

IPHONE 13 Pro dan versi Pro Max menampilkan beberapa ciri khusus dan untuk semua variasi, prestasi kamera sudah dipertingkatkan.
IPHONE 13 Pro dan versi Pro Max menampilkan beberapa ciri khusus dan untuk semua variasi, prestasi kamera sudah dipertingkatkan.

Secara mudahnya, iPhone 13 Mini mempunyai spesifikasi yang sama dengan versi iPhone 13, malah menggunakan pemproses Apple A15 Bionic binaan 5nm yang digunakan versi Pro serta Pro Max.

Selain itu, untuk variasi iPhone Pro serta Pro Max, ia dilengkapi dengan tetapan tiga kamera yang dipertingkatkan dan kali ini, Apple menambah kefungsian lensa makro secara automatik.

Lensa itu akan berfungsi secara automatik apabila pengguna mendekatkan peranti dengan sesuatu objek, sekali gus penghasilan imej rakaman lebih terperinci.

Antara kefungsian yang paling dinanti-nantikan adalah rakaman video 'Cinematic' umpama seorang perakam profesional apabila pengguna boleh memilih objek atau subjek untuk diberikan fokus bersama latar belakang kabur.

Bagi pengguna yang gemar merakam video atau penyedia kandungan kreatif, ia satu bonus apabila apabila rakaman 'Cinematic' ini boleh digunakan untuk tujuan suntingan serta penghasilan karya yang lebih profesional.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 6:35 AM