SONOS Ray lengkap dengan teknologi terkini selain penghasilan bunyi mengagumkan. - FOTO Google
SONOS Ray lengkap dengan teknologi terkini selain penghasilan bunyi mengagumkan. - FOTO Google
Muhammad Saufi Hassan

 

SEBUT saja bar bunyi atau 'soundbar' sudah pasti ramai dalam kalangan pengguna yang mengimpikan hasil kesan bunyi bak panggung wayang untuk kepuasan serta hiburan bersama keluarga.

  Untuk itu, #ITMetro ingin mencadangkan kepada pengguna supaya mencuba bar bunyi keluaran Sonos terbaharu iaitu Sonos Ray yang lengkap dengan teknologi terkini selain penghasilan bunyi mengagumkan.

  Mungkin ramai dalam kalangan penggemar bunyi sudah mengetahui keupayaan jenama Sonos selaku penghasil sistem bunyi premium dan kali ini, Sonos mempertaruhkan produk baharunya iaitu Sonos Ray dengan tanda harga mampu milik.

  Bagi pengguna kurang menyukai bar bunyi yang panjang dan besar, Sonos Ray adalah jawapannya malah ia sangat sesuai untuk golongan minimalis tanpa memerlukan ruang yang terlalu besar.

  Menyentuh aspek spesifikasinya, Sonos Ray ini dilengkapi dengan empat speaker terbina di dalamnya dan sangat sesuai untuk kawasan bilik atau ruang hiburan bersaiz sederhana.

  Ia juga didatangkan dengan sambungan optikal dan saiz televisyen yang dicadangkan adalah bermula 55 inci.

  Secara terperinci, empat speaker berkenaan adalah Kelas-D Penguat Digital yang sudah diperhalusi kepada seni bina akustik yang unik untuk penghasilan bunyi lebih baik.

BAR bunyi baharu yang lebih kompak. - FOTO Google
BAR bunyi baharu yang lebih kompak. - FOTO Google

  Sonos Ray ini juga dilengkapi dengan dua 'tweeters untuk menghasilkan bunyi pada frekuensi tinggi bersama-sama dengan dua 'midwoofers' efisien tinggi khusus untuk frekuensi pertengahan serta penghasilan bas lebih kompak.

  Pada masa sama, pengguna juga boleh melakukan talaan ubahsuai (EQ) menerusi peranti pintar dan boleh diubahsuai daripada aspek bass, treble dan kebingitan mengikut kesesuaian.

  Ujian penghasilan bunyi terhadap Sonos Ray ini juga sangat mengagumkan dan ia sesuai untuk semua jenis kandungan.

  Jika anda penggemar muzik, Sonos Ray sangat cemerlang dalam tiga teras frekuensi utama iaitu frekuensi rendah, sederhana dan tinggi serta tidak dilupakan penghasilan bass yang padat.

  Untuk penggemar penstriman video, Sonos Ray mampu memberikan pengalaman paling luar biasa untuk pengguna khusus bagi genre filem aksi, seram dan sebagainya.

   Biarpun saiz Sonos Ray ini adalah kecil, namun penghasilan bunyinya adalah mengagumkan malah ia adalah yang terbaik untuk bar bunyi mampu milik jika dibandingkan dengan jenama lain.

  Pengguna pastinya kagum dengan penghasilan kesan bunyi daripada Sonos Ray ini dan ia juga tidak memerlukan pemasangan yang rumit.

INFO

Kesan bunyi: 4.5 / 5

Harga: 5 / 5

Genre kandungan: Sesuai untuk semua jenis

Rekaan: Minimalis

Warna: Hitam dan Putih

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Jun 2022 @ 6:44 AM