BACK 4 Blood umpama kelahiran semula judul permainan Left 4 Dead yang turut tampil konsep permainan sama.
BACK 4 Blood umpama kelahiran semula judul permainan Left 4 Dead yang turut tampil konsep permainan sama.
Muhammad Saufi Hassan


Pastinya 'gamers' di luar sana pasti mengingati genre permainan 'survival' menentang zombie yang ditampilkan oleh judul permainan epik, Left 4 Dead terbitan Valve Corporation lebih 13 tahun lalu.

Selepas penerbitan permainan Left 4 Dead atau ringkasnya L4D, agak kurang permainan berkonsepkan skuad 'survival' menentang zombie dan mencapai misi iaitu keluar daripada zon serangan.

Kini muncul satu lagi judul iaitu Back 4 Blood yang turut menggunakan konsep sangat mirip dengan L4D dan memerlukan kerjasama pasukan atau skuad untuk mencapai misi sesebuah peta atau lokasi.

Permainan itu belum dilancarkan dan mengikut perancangan, versi penuh permainan itu boleh didapati pada 12 Oktober depan, namun pada bulan lalu, 'Open Beta' untuk judul itu dibuka.

Biarpun hanya kandungan terhad, namun ia dapat memberi gambaran awal berhubung mekanik permainan, konsep dan objektif sebenar permainan itu.

Secara umumnya, penulis boleh katakan bahawa judul Back 4 Blood ini adalah 'reinkarnasi' atau kelahiran semula permainan Left 4 Dead, namun menampilkan beberapa ciri khusus atau konsep mekanik permainan yang berbeza.

Permainan yang dibangunkan oleh Turtle Rock Studios itu masih mengekalkan konsep skuad dan setiap pemilihan karakter mempunyai ciri atau skil tersendiri.

BACK 4 Blood dilancarkan pada Oktober depan menerusi semua platform permainan utama.
BACK 4 Blood dilancarkan pada Oktober depan menerusi semua platform permainan utama.

Ia sekali gus memberi rangka strategi kepada pemain untuk melakukan pemilihan karakter memandangkan setiap daripada watak berkenaan ada kelebihan tersendiri.

Antara mekanik permainan baharu adalah pengenalan kepada 'deck lining' atau pemain akan diberikan kad skil khusus dan setiap penggunaan kad itu akan mengubah ciri keupayaan watak pemain.

Sebagai contoh, ada kad yang memberi kelebihan kepada mata nyawa, kapasiti peluru boleh dibawa, kit ubat-ubatan dan sebagainya.

Lebih menarik adalah Back 4 Blood mempunyai beberapa mod permainan iaitu untuk PvE, pemain akan menentang zombie kawalan kecerdasan buatan (AI) komputer atau memilih PvP iaitu bertarung dengan pemain lain.

Untuk PvP, sesi permainan akan bertukar iaitu pasukan A akan menjadi manusia, manakala pasukan B akan menjadi zombie dan setiap pemilihan zombie mempunyai mata kerosakan serta beberapa ciri khusus yang lain.

Secara keseluruhannya, Back 4 Blood adalah satu judul nafas baharu untuk Left 4 Dead, namun penulis tidak boleh memberikan keputusan secara menyeluruh memandangkan akses kandungan hanya di peringkat 'Beta'.

Mungkin pembangun permainan ini akan menyediakan lebih banyak kandungan lain untuk versi penuh kelak.

MASIH kekalkan konsep skuad dan setiap pemilihan karakter mempunyai ciri atau skil tersendiri.
MASIH kekalkan konsep skuad dan setiap pemilihan karakter mempunyai ciri atau skil tersendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 6:30 AM