PERMAINAN Maneater menampilkan konsep RPG sebagai haiwan pemangsa.
PERMAINAN Maneater menampilkan konsep RPG sebagai haiwan pemangsa.
Muhammad Saufi Hassan

TIDAK dinafikan sudah ada ratusan judul yang menggunakan konsep permainan Role Playing Games (RPG) secara dunia terbuka malah ia menjadi pilihan kebanyakan pembangun permainan kerana memberi 'kedalaman' permainan yang unik serta disukai pemain.

Kebiasaannya, kita akan melihat konsep dunia terbuka ini mungkin membabitkan pemburuan makhluk asing, pengembaraan karakter atau peperangan namun pernahkah kita terfikir bahawa akan wujud satu judul yang menampilkan karakter dunia terbuka bagi alam 'pemangsa'.

Untuk itu, penulis memberikan markah 4.5 daripada lima bintang terhadap judul permainan Maneater yang dibangunkan oleh usaha sama Tripwire Interactive dan Blindside Interactive serta diterbitkan Epic Games selaku penjual rasmi.

Permainan ini menampilkan keunikan tersendiri apabila pemain akan mengawal seekor jerung Bull Shark yang mahu membalas dendam terhadap kematian ibunya yang dibunuh oleh sekumpulan 'pemburu jerung'.

Objektif utama permainan bukanlah semata-mata berdepan dengan kumpulan manusia malah karakter jerung berkenaan akan berdepan dengan pemangsa lain seperti buaya air masin, jerung Mako dan beberapa spesies pemangsa lain.

MENAMPILKAN karakter dunia terbuka bagi alam ‘pemangsa’.
MENAMPILKAN karakter dunia terbuka bagi alam ‘pemangsa’.

Pemain juga akan memulakan 'karier' haiwan pemangsa sebagai anak jerung yang sengaja dilepaskan oleh seorang pemburu lagenda Scaly Pete yang membunuh ibu dan meninggalkan kesan di badan anak jerung terbabit sebagai tanda.

Pembangun permainan ini juga bijak memadankan pengalaman pemain sebagai haiwan pemangsa dan ciri fiksyen seperti pemain boleh melakukan naik taraf terhadap kemahiran jerung berkenaan berdasarkan kepada kelajuan, mata kemusnahan, ketahanan dan beberapa kemahiran lain.

Secara asasnya, permainan ini menampilkan tiga tahap perkembangan jerung iaitu anak jerung, remaja (teen), dewasa (adult) dan (elders).

Setiap peringkat berkenaan mempunyai kemahiran yang boleh dinaik taraf daripada semasa ke semasa.

Mata naik taraf juga diperoleh menerusi hasil pemakanan jerung contohnya, ikan kerapu berlabel protein, kura-kura (mineral) dan beberapa haiwan lain. Secara ringkasnya setiap hidupan air berkenaan mempunyai nutrien yang diperlukan oleh jerung untuk mata naik taraf sesuatu kemahiran.

Bagi menambah ciri fiksyen di dalam permainan berkenaan, pemain boleh menaik taraf jerung dengan kejutan elektrik dan sekali imbas ia mirip kepada raksasa di dalam filem Pacific Rim yang digelar 'Kaiju' namun ia pengalaman permainan yang berbeza.

Mekanik permainan ini juga tidak bergantung hanya kepada pemburuan sebaliknya wujud juga elemen kesukaran lain seperti jika pemain menyerang manusia, sekumpulan manusia pemburu akan mula mencari anda dan setiap kumpulan berkenaan mempunyai 10 tahap berbeza.

Secara keseluruhannya, permainan ini pasti lebih cemerlang jika pembangun meningkatkan keupayaan kesan grafik atau memperbagaikan karakter pemilihan haiwan pemangsa sesuatu dengan tajuk maneater bagi memberi pengalaman berbeza setiap haiwan.

Bagaimanapun, ia tidaklah permainan yang terlalu teruk dan masih menyeronokkan untuk dimainkan cuma perlu meningkatkan beberapa aspek lain untuk lebih kompetitif dengan judul AAA.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 6:30 AM