SAMPEL dipaparan skrin komputer yang terkena serangan Ransomeware. FOTO Mohd Fadli Hamzah
SAMPEL dipaparan skrin komputer yang terkena serangan Ransomeware. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Afiq Hanif


ISU celik teknologi maklumat (IT) pada tahun depan dijangka lebih komplikated.

Terutama penggunaan Internet dengan keba­nyakan masyarakat di Malaysia mula mengenali kebaikan yang mampu mengubah kehidupan.

Apatah lagi dengan kemudahan rangkaian jalur lebar yang meluas memudahkan akses kepada Internet rancak dipromosikan, syarikat telekomunikasi menawarkan pakej dengan harga semurah RM49 sebulan.

Namun pada tahun depan, kita perlu mena­ngani isu moral yang lebih komplikated dibangkitkan seperti buli siber, pencurian data dan sebagainya.

Salah satu agensi kerajaan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang bertanggung­jawab mengawasi keselamatan ‘online’ di negara ini iaitu Cybersecurity Malaysia melaporkan hampir 9,370 insiden online berlaku pada tahun ini (data sehingga November).

Ia meningkat 15 peratus berbanding tempoh setahun pada tahun lalu iaitu 7,962 kes.

Boleh dikatakan, pening­katan saban tahun adalah satu angka yang serius dan mungkin lebih banyak kerana insiden yang direkod­kan berdasarkan laporan dibuat.

Cuba bayangkan insiden yang tidak dilaporkan, ia mungkin lebih banyak daripada yang disangka.

Masalah keselamatan komputer pada masa kini lebih kompleks, apatah lagi meluasnya definisi kerana penggunaan bukan lagi sekadar PC, tapi juga telefon pintar, tablet, peranti boleh pakai dan banyak lagi yang dihubungkan dengan Internet.

Ia bukan lagi berkaitan isu teknikal, tapi sudah membabitkan isu moral dihadapi pengguna yang mengakses Internet.

Isu keamanan suasana perkomputeran perlu dititikberatkan dalam usaha memberikan kehidupan bahagia tanpa ancaman siber.

Kita masih di pering­kat awal dalam dunia Internet yang laju, namun perlu berhati- hati supaya tidak terperangkap dengan jenayah siber yang boleh mengakibatkan kehidupan musnah hanya kerana satu klik.

Lebih 30 juta PC di negara ini menunjukkan pelbagai transaksi berlaku sama ada perbankan, sosial dan sebagainya yang berupaya mengundang ancaman.

Malah, aktiviti sosial seperti Facebook, Instagram dan banyak lagi memung­kinkan gejala tidak sihat berlaku sekiranya tidak dikawal dengan baik.

Kebanyakan insiden yang berlaku di negara ini membabitkan masalah menumpang identiti orang lain, perkhidmatan dinafikan, penipuan dan pemalsuan, terdedah kepada niat jahat, gangguan kandungan tidak senonoh, kod jahat atau malicious dan gangguan sistem termasuk ransomware.

Malah, tidak terkecuali masalah kegiatan me­nyamar sebagai individu tertentu dengan tujuan mengaibkan atau mengaut keuntungan yang mula menular mencari mangsa untuk ditipu.

Gangguan di Internet boleh tergolong dalam kategori cyberstalking atau penghendap siber.

Penghendap siber didefinisikan sebagai penggunaan Internet atau saluran elektronik lain untuk menghendap orang lain dengan tujuan jahat sama ada sebagai individu atau organisasi.

Kelakuan ini termasuk tuduhan palsu, memfitnah, mengancam, mengeksploitasi seks, menyalah guna e-mel orang lain, mencuri identiti dan mengumpul maklumat orang lain yang bertujuan mengganggu individu terbabit.

Pada kebiasaannya, pemangsa adalah individu mengenali mangsa seperti bekas teman lelaki atau suami yang mahu membalas dendam.

Pasangan kekasih atau suami isteri mengetahui data lengkap pasangan masing-masing dan membalas dendam dengan membocorkan maklumat peribadi sebaik mereka berpisah.

Sudah pasti, mangsa yang berada dalam keadaan trauma apabila identiti­nya dicuri dan didaftarkan sebagai pengguna palsu di laman web sosial selepas dia memutuskan hubungan.

Maklumat peribadi yang disimpan dalam laman sosial boleh digunakan sesiapa saja untuk menghantar virus atau spam menerusi e-mel kerana menerusi Internet, seseorang itu boleh menjadi sesiapa saja tanpa perlu menyalurkan maklumat sebenar.

Pengguna sendiri perlu menjadi penapis kepada semua maklumat yang mahu disiarkan.

Kalau dilihat senario semasa, tidak semua pengguna laman sembang mahu mendedahkan identiti sebenar dan lebih selesa menggunakan nama samaran yang bertujuan untuk berseronok semata-mata.

Sekiranya pengguna mengalami insiden akaun diceroboh tanpa kebenaran dan kecurian maklumat, bolehlah merujuk kepada CyberSecurity Malaysia menerusi perkhidmatan Cyber999.

Tambahnya, jika mangsa melaporkan mengenai insiden mereka terus kepada pengurusan laman web sosial, ia mungkin sukar dipercayai namun jika menggunakan khidmat Cyber999 mungkin dapat mengukuh­kan laporan terbabit.

Justeru, pengguna perlu bijak memelihara data peribadi supaya nasi tidak menjadi bubur pada kemudian hari yang memberi kesan negatif kepada kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 7:30 AM