NOORLY terima khabar gembira pada Ogos tahun lalu selepas capai berat badan ideal menerusi Projek Kurus
NOORLY terima khabar gembira pada Ogos tahun lalu selepas capai berat badan ideal menerusi Projek Kurus
Intan Mas Ayu Shahimi


PERJALANAN wanita ini untuk hamil sekali lagi bukan mudah. Lima kali dia menerima khabar rahimnya dihuni zuriat yang dinanti, sebanyak itu jugalah dia kecewa kerana rezeki ditunggu tidak kesampaian.

Kata Noorly Mohd Noor, 41, dia memang meletak harapan besar dikurniakan sekurang-kurangnya seorang lagi cahaya mata untuk menggembirakan hati suami tercinta.

“Saya inginkan anak kerana belum mempunyai zuriat untuk perkahwinan kedua. Namun, doktor yang merawat agak berat hati untuk membenarkan saya hamil lagi kerana sudah lima kali keguguran.

“Namun, tidak kira apa pun halangannya, sebagai isteri, saya tetap mahu hamil kerana ini perkahwinan pertama suami. Perkara ini saya jelaskan kepada doktor dan mujurlah dia faham.

“Selepas kami berbincang, saya dinasihat mengamalkan gaya hidup sihat, mengawal pengambilan makanan dan berusaha menurunkan berat badan sebelum mencuba untuk hamil lagi.

“Semua ini penting bagi membantu tubuh lebih bersedia, meningkatkan lagi peluang untuk hamil dan melancarkan proses kelahiran kelak,” katanya.

MASIH meneruskan latihan kecergasan.
MASIH meneruskan latihan kecergasan.

OBESITI KELAS I

Menurut Noorly, dia memang memiliki tubuh agak gempal sejak kecil, tetapi tidak mencapai tahap obes kerana aktif mengikuti pelbagai aktiviti, sukan dan permainan di sekolah.

“Selepas tingkatan lima, saya memohon menganggotai TLDM dan berkhidmat selama kira-kira 21 tahun. Dalam tempoh itu, berat badan masih boleh dikawal kerana perkhidmatan sangat mementingkan Indeks Jisim Tubuh (BMI). Semua anggota tidak boleh mempunyai BMI lebih atau kurang.

“Tetapi, selepas mengambil cuti bersara, saya gagal mengawal pemakanan. Lebih memburukkan keadaan apabila saya juga melupakan aktiviti kecergasan. Tanpa sedar, berat badan naik 10 kilogram (kg) dalam masa enam bulan. Ketika inilah tubuh saya mencecah 87kg,” katanya.

Jelas Noorly, perubahan itu mungkin turut dipengaruhi keadaan tubuh yang hamil dan mengalami keguguran pada usia kandungan baharu mencapai 17 minggu.

“Kehamilan ini berlaku ketika saya masih berkhidmat. Selain simptom kehamilan biasa, saya juga menghadapi masalah tekanan darah tinggi. Tidak lama selepas gugur, saya hamil lagi dengan keadaan berat sudah mencecah 85kg.

“Kali ini, saya disahkan menghidap diabetes dan kandungan pula tidak menjadi. Doktor yang memeriksa mendapati kantung kosong dan saya diarahkan membuang kandungan,” katanya.

Biarpun kecewa, wanita ini tabah berdepan ujian. Selain sukar hamil dan kandungan tidak menjadi, Noorly juga mengalami sakit lutut, lenguh badan serta masalah penghadaman.

“Selepas lima kali keguguran, saya mula nekad mencuba pelbagai kaedah alternatif yang ada. Saya ikut saranan doktor supaya mengamalkan gaya hidup sihat dan cuba menurunkan berat badan sebelum hamil.

“Namun realiti tak semudah yang disangka. Sebelum mengenali aktiviti kecergasan, muay thai dan tinju, saya pilih jalan mudah dengan mengambil produk makanan tambahan, khusus untuk menurunkan berat badan.

“Malangnya, berat turun hanya sekilo dua. Apabila saya berhenti, saiz tubuh menjadi berganda daripada sebelumnya. Lebih teruk, saya juga alami masalah gatal badan. Kata doktor, semua itu berpunca daripada produk makanan tambahan yang saya ambil,” katanya kesal.

IKUT PROJEK KURUS

Enggan menyerah, Noorly melangkah keluar daripada zon selesa. Selepas kantung janin disahkan kosong pada 2017, dia nekad menurunkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat termasuk menyertai zumba dan makan secara seimbang.

“Kurangnya ilmu memberi cabaran besar untuk saya meyakinkan diri mampu kurus. Tambahan berat pula turun naik. Saya hampir berputus asa tetapi masih tidak berhenti mencari kumpulan sokongan yang boleh diajak beriadah bersama-sama.

“Syukur, saya terjumpa Projek Kurus 1 dan mula mengenali jurulatih kecergasan muay thai, Zainur Arsyiqin. Saya cukup teruja hendak mengejar misi hamil. Selepas mendaftar, saya terus memulakan gaya hidup sihat, tanpa produk kurus.

“Saya belajar cara pemakanan yang betul, melakukan pelbagai latihan termasuk muay thai, senaman berintensiti tinggi, tabata, kardio, tinju dan mendaki untuk menguatkan stamina serta meningkatkan pembakaran lemak,” katanya.

Berkat usaha tanpa jemu, Noorly kehilangan berat sebanyak 8.7kg dalam masa tujuh minggu. Dia kemudian meneruskan usaha ke gimnasium, mendaki dan mengikuti kelas malam muay thai serta tinju yang diajar tiga jurulatih lelaki.

NOORLY bersama si comel Aqief.
NOORLY bersama si comel Aqief.

“Akhirnya, dalam masa setahun, saya berjaya mendapatkan berat badan ideal iaitu 61kg. Agak lucu apabila suami menyuarakan rasa tidak senang kerana terlalu kurus. Jadi, saya kekalkan berat 65kg dan meneruskan rutin sihat atas galakan dan sokongan suami.

“Selepas lama menanti, Ogos tahun lalu saya disahkan hamil. Sebaik mendengar khabar gembira ini, saya ambil keputusan berehat berikutan trauma selepas lima episod keguguran. Hanya selepas kandungan berusia tujuh bulan, baru saya kembali ke gimnasium untuk melakukan senaman bersesuaian dengan ibu hamil.

“Alhamdulillah, anak kelima ini dinamakan Aqief. Saya gembira impian mempunyai zuriat dengan suami dimakbulkan Allah SWT. Walaupun misi berjaya, tetapi saya tetap meneruskan latihan kecergasan.

“Dengan bantuan suami dan anak yang lain, saya dapat keluar berjoging, mendaki dan berlatih di gimnasium. Sesekali, saya juga akan bawa Aqief menemani latihan berkumpulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Ogos 2019 @ 5:25 AM