AMALAN bermaafan suburkan kasih sayang.
AMALAN bermaafan suburkan kasih sayang.
Intan Mas Ayu Shahimi


MENJENGAH hari kelima Ramadan, masih ada yang teragak-agak untuk bermaaf-maafan sesama saudara. Sebulan berpuasa, bukan hanya untuk membendung nafsu makan dan minum semata-mata.

Seharusnya tempoh ini digunakan sebaik-baiknya untuk membersihkan hati, memaafkan mereka yang pernah mengguris luka, memantapkan iman dan takwa, mendidik rohani serta emosi sebelum tibanya Syawal nanti.

Apa untungnya memendam perasaan marah dan benci, menyimpan parut luka di hati atau berpegang kepada de­ndam lama. Lebih sedih jika pertelingkahan berlaku sesama saudara.

Bagaikan wabak dalam masyarakat, hari ini anak berselisih faham dengan ibu bapa, adik-beradik bertelagah, suami isteri berantakan. Mereka ini pada luarannya dilihat cekal menjalani ibadat puasa, tetapi sebenarnya masih gagal mendidik hati dan jiwa.

Bayangkan, lebaran tahun sudah yang berlalu sepi tanpa peluk cium daripada orang dikasihi. Masakan tahun ini juga masih hendak terus menjauh dan mengasingkan diri.

Pakar keluarga dan kasih sayang, Rozieta Shaary berkata, permulaan Ramadan antara kesempatan terbaik untuk seluruh ahli keluarga bermaaf-maafan, khususnya mereka yang pernah terguris atau melukai satu sama lain.

“Masyarakat kita selalu meletakkan hari tertentu untuk meraikan perkara baik termasuk bermaafan. Walhal kita mempunyai banyak masa untuk memaafkan, bermesra, mengukuhkan ukhuwah, sekali gus memelihara hubungan kekeluargaan.

“Pertelingkahan, salah faham dan bermasam muka sepatutnya tidak boleh melewati hari ketiga. Kalau sengketa dijangka berpanjangan, eloklah salah seorang mengalah dan memohon maaf.

“Sebenarnya, apabila kita memulakan kata maaf, tidak bermaksud kesilapan itu bermula daripada diri kita sendiri. Bermaafan juga tidak bermakna kita setuju kekhilafan pihak satu lagi. Namun, memohon maaf ini membantu kita meninggalkan aura negatif.

“Terpulang kepada pihak sana sama ada mahu terus berdendam atau memaafkan. Apa yang penting, kita terpelihara daripada aura negatif, tidak berterusan terperangkap dalam emosi dan paling penting dapat membersihkan hati sendiri,” katanya.

Kata Rozieta, hati dan fikiran yang tenang boleh membantu untuk lebih fokus dalam menjalani ibadah puasa. Teliti beberapa tip berikut untuk menikmati Ramadan penuh makna.

PAKAR keluarga dan kasih sayang, Rozieta Shaary
PAKAR keluarga dan kasih sayang, Rozieta Shaary

1. BERLUMBA MEMAAFKAN

Ketepikan budaya adik perlu meminta maaf terlebih dulu daripada abang atau kakak dan seumpamanya. Tidak salah jika mereka yang lebih tua tampil meminta maaf dari yang lebih muda.

Semua ini adalah budaya semata-mata. Memohon maaf tidak merugikan, bahkan memberi lebih ketenangan. Apabila hati terdetik untuk bermaafan, segeralah berbuat demikian. Hubungan adik-beradik sepatutnya disuburkan dengan kasih-sayang.

2. PERLU CAMPUR TANGAN

Pertelingkahan lazim­nya berlaku kerana hasutan syaitan. Dalam keadaan ini, setiap individu pasti ada kesilapan tersendiri. Sebagai adik-beradik atau ibu bapa, kita sepatutnya lebih tahu dan peka dengan sifat dan perlakuan ahli keluarga.

Jangan berpihak kepada mana-mana dan usahakan untuk mereka ini bersatu kembali. Kalau adik-beradik gagal menjernihkan suasana, ibu bapa perlu ambil peranan untuk memperbetulkan keadaan supaya kembali harmoni.

3. TUNDUKKAN EGO

Bertahun-tahun me­nyimpan amarah tidak sedikit pun membawa bahagia, apatah lagi hati yang tenang. Lawan perasaan ego dan ketepikan perasaan malu. Banyakkan berdoa kepada Allah SWT, memohon supaya dipermudahkan urusan dan dilembutkan hati pihak lawan. Lakukan solat hajat dan minta bantuan dari-Nya supaya sengketa dapat dileraikan.

>b> 4. BERMAAFAN SEADANYA

Ramai orang teragak-agak untuk memulakan maaf kerana bimbang dimalukan dan takut dikatakan salah. Hubungan tidak mungkin keruh dalam masa yang panjang hanya dengan kesilapan sebelah pihak.

Beri ruang untuk diri berasa tenang dengan bermaafan. Usah mengalah jika pihak yang satu lagi menuntut syarat luar batas semata-mata untuk memaafkan. Jelaskan niat dan berusahalah untuk berubah.

AMBIL kesempatan bermaaf-maafan, kukuhkan  hubungan kekeluargaan.
AMBIL kesempatan bermaaf-maafan, kukuhkan hubungan kekeluargaan.

BAIKI HATI

Ketahui bertapa ruginya jika terlepas meraikan bulan mulia dan hari raya nanti bersama keluarga tercinta hanya kerana seng­keta lama yang mungkin timbul daripada perkara remeh. Ketika umat Islam seluruh dunia bergembira, tidak manis andai kita mengasingkan diri hanya kerana ego yang tidak bertepi.

“Tidak kira sebesar mana pertelingkahan wujud dalam perhubu­ngan, saya yakin semua­nya mampu dibaiki dengan hati suci bersih.

“Mungkin jawapan ini agak klise pada sesetengah orang. Namun, suka atau tidak, saya percaya segalanya berkait dengan hati. Usah terlalu fokus kepada kesilapan orang lain. Cuba sesekali melapangkan hati dan fahami mengapa kita perlu bermaafan.

“Sentiasa ingat, meminta maaf tidak bermakna kita setuju dengan kesilapan dulu. Maaf ini perlu supaya kita tidak terus hanyut dalam kehidupan penuh dendam, terutamanya terhadap ibu bapa, anak sendiri, adik-beradik, saudara atau teman.

“Teruskan hidup dan tinggalkan rasa geram dan marah jauh-jauh. Ketahui andai sikap ini dibawa keluar, tidak mustahil ia akan membusuk. Jadi, lebih baik kita bermuhasabah diri, bermaafan dan meneruskan hidup dalam suasana aman harmoni,” katanya.

RAGAM MENANTU-MENTUA

Selain hubungan ibu bapa dengan anak serta adik-beradik, perselisihan kecil antara menantu dengan mentua juga kerap menjadi kudis dalam keluarga.

Kata Rozieta, hakikat dunia tidak pernah berubah walau seinci dalam membicarakan hubungan antara mentua dengan menantu. Ada yang bertuah kerana diberi limpahan kasih-sayang tidak bertepi, namun ada juga yang berantakan kerana ego yang sukar ditundukkan.

“Kita perlu faham mentua ini selalunya mempu­nyai ego sendiri. Ada yang mudah tergugat dengan kehadiran menantu, ada yang terluka kerana berasakan tempatnya digantikan wanita lain, tidak kurang juga yang terus merasa kehilangan.

“Sebagai menantu, rebutlah peluang ini untuk menjadi seorang yang matang, bijaksana dalam menilai serta sentiasa bersikap rendah hati. Minta maaf dengan mentua walaupun kesilapan itu bukan bermula dari diri sendiri.

“Usah bersikap keterlaluan pada ibu yang melahirkan pasangan kita, sebaliknya belajar ambil hati mereka. Jika mentua berkeras dan membebel, dengarkan saja. Boleh jadi dia sekadar hendak melepaskan perasaan yang terbuku di jiwa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2019 @ 5:30 AM