NURUL Huda. FOTO Amirudin Sahib
NURUL Huda. FOTO Amirudin Sahib
Intan Mas Ayu Shahimi

MENGENALI wanita ini secara peribadi, Nurul Huda Ahmad Nawawi, 35, memang komited dalam tugas dan tanggungjawab. Walaupun berdepan banyak halangan dan ujian, dia tetap kental mendepani cabaran.

Baginya, setiap episod hidupnya sudah direncanakan Allah SWT. Namun, sebagai manusia, dia tidak harus lelah untuk berusaha, apatah lagi mengalah dengan nasib, keadaan, mahupun kritikan orang lain.

Ketika ramai wanita berbangga dengan tugas dan kerjaya dalam bidang profesional, ibu kepada seorang cahaya mata ini bersemangat memperjuangkan suara suri rumah muda, memberi bimbingan dan mengatur pelbagai program untuk membentuk komuniti positif.

Seboleh-bolehnya, dia mahu mengangkat peranan suri rumah sebagai cabang kerjaya dihormati. Bukan terus diperlekeh atau dipandang mudah golongan yang berjalan angkuh, mengepit fail dan menyarung pakaian mahal ke pejabat.

Bercerita lanjut, kata Nurul Huda, dia menggalas tanggungjawab sebagai suri rumah sejak tujuh tahun lalu, apabila mengikut suaminya ke luar negara untuk menyambung pelajaran.

“Masa bujang dulu saya pernah bekerja sebagai eksekutif aktuari di HSBC Amanah di Kuala Lumpur. Empat bulan kemudian, saya berhenti dan melanjutkan pengajian sarjana dalam bidang Sains Aktuari di Edinburgh, Scotland.

“Pulang dari sana, saya berkahwin dan mengikut suami menyambung pengajian doktor falsafah ke Sheffield, United Kingdom (UK). Ketika di sana, saya merangka banyak pelan untuk bekerja sebaik pulang ke Malaysia. Walaupun ada peluang untuk bekerja di UK, tawaran diterima jauh di Manchester. Kata suami, tidak berbaloi kerana faktor kos yang tinggi.

“Kebetulan rezeki menimang anak tiba dulu, jadi saya hanya menghabiskan dengan membaca, membuat rujukan, bergaul dengan komuniti setempat untuk menambah ilmu keibubapaan di samping mencedok pengalaman di tempat orang. Hanya selepas anak berusia 10 bulan, barulah kami pulang ke Malaysia,” katanya.

Jelas Nurul Huda, sekem­balinya ke tanah air, dia jadi bimbang menghantar anaknya ke pusat asuhan. Kebetulan ketika itu banyak kes penderaan, jadi dia nekad menjaga anak sendiri sambil mencari pekerjaan sesuai.

“Tekanan mula datang apabila ramai yang berta­nya, bila hendak mula kerja. Sedangkan saya tidak bersedia meninggalkan anak kepada orang yang tidak dikenali. Saya mula terfikir mengenai sistem sokongan yang ditawarkan komuniti di UK. Di sana, ada kumpulan bermain untuk kanak-kanak. Jadi, saya cuba cari di sekitar kediaman, tetapi tiada.

“Tambahan masyarakat kita tidak melihat usaha mendidik anak ini sebagai satu pencapaian besar. Ramai beranggapan, wanita yang duduk di rumah menjaga anak adalah kelompok yang gagal. Keadaan itu sedikit sebanyak buat saya mahu cepat-cepat mencari kerja. Kawan yang dulunya sama-sama belajar di universiti juga mempelawa supaya menghantar resume.

BERSAMA buku yang dihasilkannya. FOTO Aizuddin Saad
BERSAMA buku yang dihasilkannya. FOTO Aizuddin Saad

“Masalahnya, saya tidak tahu di mana hendak menghantar anak supaya sentiasa dekat walaupun pada waktu kerja. Banyak perkara menerjah dalam fikiran. Akhirnya saya nekad untuk menjadi guru tadika. Mudah, kerana boleh bersama anak setiap masa,” katanya.

Namun, lain yang dikejar, lain pula peluang yang tiba. Daripada sekadar memohon jawatan guru tadika, wanita ini ditawarkan jawatan eksekutif pendidikan di syarikat induk pusat asuhan berkenaan. Anak terpaksa ditinggalkan di tadika, namun dia menjenguk sesekali apabila lapang.

“Setahun memegang jawatan ini dan saya seronok menggalas tanggungjawab yang diberi. Saya terpaksa berhenti apabila suami sekali lagi menyambung pengajian ke luar negara. Kali ini, kami berpindah ke New Jersey, Amerika Syarikat (AS). Di sana, saya langsung tidak ada kawan mahupun kenalan. Orang Malaysia juga tidak ramai.

“Tetapi yang menariknya, mereka ada kumpulan sokongan. International Women Group (IWG) adalah persatuan yang membantu wanita atau isteri kepada pasangan yang berhijrah ke sana. Merekalah yang banyak membantu. Sekali lagi saya membuat pelbagai perancangan untuk kembali bekerja. Bagaimanapun, keinginan itu terpaksa dibuang berikutan sukarnya mendapatkan permit kerja,” katanya.

PERSEPSI BERTUKAR

Andai di UK dulu wanita ini selesa dengan keprihatinan komuniti dan masyarakat sekitarnya, di AS dia bertemu suasana baru. Ketika sibuk merencana pelan untuk menjadi suri rumah yang cekap, dia sedar wanita di AS memiliki persepsi jauh lebih baik terhadap ibu yang duduk di rumah.

“Saya banyak belajar dengan ahli IWG. Mereka mengajar pelbagai ilmu kemahiran, memasak pelbagai jenis hidangan, mengenal budaya negara lain dan saling membina.

“Kualiti hidup juga diberi penekanan serius, bagaimana wanita perlu ada keyakinan diri, kreatif, sedia mengajar anak di rumah dan paling utama adalah mengenal nilai syukur. Bagi saya, mereka benar-benar meraikan peranan suri rumah.

“Sedikit sebanyak, persepsi saya turut bertukar. Menjadi suri rumah bukanlah kerjaya yang teruk bahkan lebih mulia dan dihormati. Selagi kita pandai mengurus, menghargai setiap usaha, berpegang kepada kualiti hidup dan mahu belajar, suri rumahlah kerjaya terbaik.

“Alhamdulillah, semua pengalaman ini saya bawa pulang ke Malaysia dan praktikkan di sini menerusi pelbagai aktiviti Suri Rumah Rahmah (SRR). Saya hantar anak ke sekolah, mengajar dia di rumah dan melakukan pelbagai aktiviti kreatif. Tidak cukup dengan itu, saya juga aturkan temu janji untuk anak bermain dan bergaul dengan rakan sebayanya sebagaimana budaya di UK serta AS,” katanya.

Hari ini, selain bergelar suri rumah, Nurul Huda menggalas tugas rasmi sebagai Pengerusi SRR. Dia juga dijemput memenuhi program bual bicara dan mula menulis buku kanak-kanak.

“Alhamdulillah, idea untuk menulis ini datang atas pelawaan rakan. Saya hanya menulis berdasarkan pengalaman mengajar anak sendiri di rumah ketika di luar negara,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 11:33 AM