REKAAN terbaru abaya dari Butik Do Buy Abaya. FOTO E-mel
REKAAN terbaru abaya dari Butik Do Buy Abaya. FOTO E-mel
Yusliza Yakimir Abd Talib


PEMAKAIAN jubah atau abaya bukan asing buat Muslimah di negara ini. Malah, kreativiti pereka fesyen yang memberi sentuhan baru terserlah hinggakan jubah dilihat melalui proses transformasi yang ketara dan tidak terhad pada satu potongan saja.

Perkara itu diakui pemilik butik Do Buy Abaya Afidah Arif yang turut sama mewarnai industri fesyen Muslimah dengan hasrat memberikan wanita negara ini pelbagai pilihan dalam berfesyen.

Katanya, fesyen kini sudah menjadi satu keperluan bagi setiap wanita zaman ini dan apa yang paling penting ialah keselesaan, kecantikan dan syariat perlu seiring dalam berfesyen terutama dalam mengekalkan konsep menutup aurat dan mengikut peredaran zaman.

Selain itu, baginya pemilihan fabrik memainkan peranan penting dalam menghasilkan sesuatu rekaan kerana ia menentukan produk akhir dapat memberi keselesaan yang diinginkan pelanggan.

“Perbezaan abaya yang saya bawa ialah ia berkonsep kontemporari dengan rekaan unik, moden dan mengikuti perkembangan semasa.

“Misalnya tahun ini, fesyen labuci semakin diminati, jadi saya banyak mengetengahkan konsep ini dalam rekaan saya. Saya juga banyak bermain dengan kombinasi warna.

“Tahun ini , warna kombinasi yang diminati adalah gandingan merah jambu dan kelabu, hijau zamrud dan putih gading serta hitam dan kuning air. Saya selalu me­ngikuti trend ketika mereka fesyen abaya,” katanya yang menetap di Abu Dhabi.

Menurutnya, koleksi butik itu sangat menyeluruh daripada abaya untuk kegunaan harian hinggalah ke majlis rasmi, pertunangan, khatam al-Quran dan akad nikah malah pelanggannya juga boleh menempah saiz abaya sendiri tanpa dikenakan caj tambahan.

Katanya, abaya di butik itu dibawa terus dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan pada mulanya Afidah hanya menjual koleksi abaya yang terdapat di pasaran negara itu, lama-kelamaan dia cuba mengolah corak dan rekaan mengikut cita rasa dan kesesuaian wanita Malaysia.

Misalnya, corak dan rekaan sulaman dari Arab banyak tertumpu di bahagian bahu dan dada serta berwarna hitam, namun di Malaysia, corak di dada dan bahu tidak begitu relevan kerana kebanyakan Muslimah Malaysia memakai tudung menutupi dada.

Oleh itu, katanya, dia mengolah rekaan mengikut kesesuaian rakyat tempatan terutama mengutamakan corak di bahagian bawah.

“Ada rekaan awalnya berwarna hitam, saya ubah warna dan corak supaya kelihatan lebih menarik. Disebabkan ia konsep abaya, jadi warna busana ini mestilah tidak begitu terang dan menonjol.

“Warna gelap seperti hitam, merah hati, biru laut, kelabu dan coklat menjadi pilihan saya. Warna asas ini akan dikombinasikan dengan warna pastel bagi menonjolkan kecantikan corak abaya itu.

“Paling penting ia mesti kelihatan menawan untuk digayakan dan menarik minat pelanggan untuk memakai abaya,” katanya.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, dia turut menawarkan rekaan abaya sedondon untuk ibu dan anak dengan saiz sesuai buat kanak-kanak seawal setahun hingga 12 tahun.

Malah fabrik yang digunakan untuk abaya perlulah lembut dan sejuk bersesuaian dengan iklim di Malaysia antaranya fabrik nida yang amat senang dijaga.

Selain itu dia turut menitikberatkan setiap rekaan perlulah menutup aurat, tidak terlalu ketat dan paling penting selesa pada si pemakai selain tiada kompromi terhadap kualiti jahitan dan jenis fabric digunakan.

Harga abaya bermula daripada RM240 hingga RM840 bergantung pada rekaan manakala untuk kanak-­kanak daripada RM120 hingga RM180.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Disember 2018 @ 8:30 AM