JAMALIAH Mohd Yasin.
JAMALIAH Mohd Yasin.
Intan Mas Ayu Shahimi

Lembut wanita ini menyapa. Tanpa tongkat di tangan, Jamaliah Mohd Yasin, 63, nampak sama seperti orang lain. Senyumannya manis, tutur katanya tersusun. Paling penting, wajahnya tampak jauh lebih muda daripada usia sebenar.

Memenuhi jemputan Huawei, Hati berkesempatan mendekati warga emas kelahiran Negeri Sembilan ini. Sebelum bertanya lanjut, Jamaliah sempat berkongsi kekalutannya bersiap pagi itu. Kata wanita ini juga, dia hampir melupakan sesi temu ramah kerana menanti orang menjemputnya tiba.

Sambil meneruskan celoteh, Jamaliah sempat membuka telefon bimbit Huawei P20 Pro dalam genggamannya. Terpukau seketika apabila melihat gambar yang dirakam wanita buta ini.

Pengamatan Jamaliah pada bunyi, penggunaan telefon dan persekitaran cukup tinggi. Dia berupaya mendapatkan sudut gambar terbaik dengan hanya mengoptimumkan tetapan kamera secara automatik.

Meneliti latar belakang wanita ini, Jamaliah berkata, dia dibesarkan sebagai individu yang sihat dan bekerja di Kuala Lumpur sebelum disahkan menghidap glaukoma pada usia 32 tahun.

“Pemeriksaan pertama hanya membabitkan mata kanan yang agak ‘kelabu’, tetapi mata kiri masih normal. Tetapi doktor memang beritahu penglihatan akan terus merosot dari semasa ke semasa

“Jadi, sebelum hilang penglihatan sepenuhnya, saya sudah tahu akan berdepan situasi sukar dalam hidup kerana glaukoma memang boleh menyebabkan buta kekal,” katanya.

Menurut Jamaliah, biarpun sedih, dia tetap bersyukur kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk melihat dan menikmati kehidupan sementara umurnya meningkat naik.

“Ketika itu kesedaran mengenai glaukoma agak rendah. Ramai yang tidak tahu apa punca penyakit ini dan sejauh mana ia memberi kesan pada diri. Namun, saya selalu menganggap diri bertuah kerana tidak buta sejak lahir.

“Saya mampu melihat untuk jangka masa panjang sebelum mata kiri turut terjejas akibat glaukoma dan buta sepenuhnya pada usia 61 tahun. Pada usia ini, saya juga sudah mempunyai dua anak dan tiga cucu. Begitupun, saya masih tidak sempat melihat dua cucu terakhir,” katanya.

Jalani hidup ceria

Sepanjang bersembang dengan Jamaliah, wanita ini memang tidak berhenti menguntum senyum. Sesekali, ada antara jawapannya berselang dengan jenaka dan kisah lucu.

Katanya, sejak belum buta lagi dia memang suka bergambar dan merakam foto cucu. Kebetulan bapanya dulu seorang jurugambar, jadi Jamaliah banyak mewarisi minat ke arah bidang fotografi.

“Bapa saya dulu cuci gambar di rumah. Tapi hari ini saya cuma petik kamera digital dan telefon bimbit saja. Tak susah macam orang dulu-dulu. Namun, sebagai permulaan, saya tetap belajar di kelas yang disediakan Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB).

“Di sini, saya bukan sekadar belajar merakam gambar, tetapi menguruskan diri, membaca, menggunakan komputer melakukan kerja rumah dan sebagainya. Pernah dulu sebelum terbabit dengan MAB, saya tercurah air panas di tangan sendiri.

“Banyak perkara mudah menjadi sukar sebaik hilang penglihatan. Jadi, apabila mendaftar dengan MAB, mereka cadangkan saya mengikuti program pemulihan. Saya belajar mengemop lantai, menyapu, memasak, mengemas rumah, merapikan katil dan menggosok baju.

“Dalam tempoh itu, saya juga kerap mencederakan diri sendiri. Syukur selepas enam bulan, saya mula mendapat keyakinan untuk menguruskan diri sendiri,” katanya.

MENUNJUKKAN cara mengambil gambar.
MENUNJUKKAN cara mengambil gambar.

Jelas Jamaliah, sejak disahkan buta, dia seakan-akan jauh dari minatnya merakam gambar. Waima menggunakan kamera telefon biasa, ia agak sukar buat dirinya kerana tidak tahu sudut dan fokus yang perlu diambil.

“Selepas berada dalam MAB, saya memohon untuk menyertai kelab fotografi. Semuanya 15 orang termasuk saya. Ada yang kategori buta B1 (buta tapi masih boleh melihat sedikit dan tidak jelas), B2 (penglihatan lebih teruk dari B1) dan B3 (langsung tidak nampak). Saya pula adalah B3.

“Kami akan mengikuti kelas setiap Sabtu yang ditaja Huawei sendiri. Kami dipinjamkan satu unit Huawei P20 Pro dan diajar ilmu asas untuk mengendalikan kamera telefon berkenaan.

“Selepas mahir, barulah kami diajar untuk peka kepada sekeliling, merasai kehangatan, tekstur, suasana, bunyi dan sebagainya. Akhir sekali, barulah mereka ajar menggunakan kamera,” katanya.

ANTARA potret yang dirakam Jamaliah.
ANTARA potret yang dirakam Jamaliah.

Berbekalkan ilmu yang dicurah tenaga pengajar, Jamaliah mula melakukan pelbagai eksperimen. Dia meneroka rangka kerja objek dan sekeliling melalui kanta Pro P20 yang dilengkapi panduan suara pintar dan pengalaman kamera dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).

“Dua minggu terawal memang kami belajar asas menggunakan kamera digital biasa, kemudian barulah mereka beri telefon bimbit untuk pelajar mengendalikan kamera Al. Panduan suara membantu untuk beritahu objek apa yang kita cuba rakam, kemudian kanta Pro P20 yang akan mengambil foto.

“Bila sudah pandai, saya akan halakan kamera pada apa saja objek, momen atau potret yang dirasakan menarik. Untuk mendapatkan hasil terbaik, biasanya saya akan cuba berkali-kali,” katanya.

IMEJ kucing kesayangan.
IMEJ kucing kesayangan.

Cabaran

Tidak lengkap hidup tanpa cabaran. Kata Jamaliah, orang sepertinya selalu dipandang rendah kerana kekurangan yang dihadapi. Bagaimanapun, itu bukanlah alasan untuk dia mengalah dengan situasi.

Seboleh-bolehnya, wanita ini mencuba yang terbaik untuk membuktikan dirinya mampu melakukan semua seperti mana orang normal. Biarpun payah, tetapi sedikit sebanyak ia menguatkan lagi dirinya untuk melangkah terus ke depan.

“Kadang-kadang jatuh, terhantuk, terlanggar itu dan ini. Semua itu biasa. Saya tidak sedih lagi macam dulu. Hakikat buta saya terima dengan hati terbuka. Jika adapun, kita menangis sajalah sendirian.

“Saya tidak suka memperlihatkan kesedihan pada orang lain. Buat masa ini saya menumpang sekejap di rumah abang. Maklum saja, kalau mata tidak nampak, kita perlu peneman. Selepas ini mungkin saya akan menetap di tempat lain, bergantung kepada pekerjaan sebagai tukang urut.

“Di sini, saya masih aktif dengan aktiviti persatuan, mengikuti usrah, kelas pembelajaran, menyertai pertandingan pingpong. Siapa tahu, saya lebih aktif kini berbanding ketika boleh melihat dulu,” katanya tertawa.

FOTO sekitar ibu kota.
FOTO sekitar ibu kota.

Selain sibuk dengan aktiviti, Jamaliah berkata, dia juga berdebar menantikan keputusan Huawei’s Next-Image Photography Awards 2018. Selepas mengikuti kelas Fotografi Sensori Huawei, beberapa gambar yang dirakam terpilih dan dihantar menyertai anugerah terbabit.

“Pertandingan ini terbuka untuk semua pengguna Huawei seluruh dunia dan saya hanya mencuba nasib. Kata mereka, gambar yang saya rakam cukup menarik dan mempunyai potensi besar untuk bersaing bersama peserta lain.

“Untuk diri saya, rakaman menggunakan kamera telefon berkenaan sudah cukup membanggakan. Kalau dulu saya tercari-cari hobi sesuai, mungkin inilah jawapannya. Saya akan terus mengambil gambar setiap hari selepas ini. Tunggulah jika ada rezeki di masa depan, saya akan dapatkan telefon bimbit ini untuk kegunaan sendiri,” katanya.

GAMBAR masjid antara yang dihantar untuk bersaing dalam Huawei’s Next-Image Photography Awards 2018.
GAMBAR masjid antara yang dihantar untuk bersaing dalam Huawei’s Next-Image Photography Awards 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 September 2018 @ 3:42 PM