Amir Abd Hamid


DISAHKAN hilang penglihatan sepenuhnya pertengahan Mac 2016, Jamaliah Mohd Yassin, 65, langsung tidak menyangka masih berpeluang menjadi jurugambar dan menghasilkan gambar cantik.

Malah, nenek kepada tiga cucu ini yang mula hilang penglihatan mata kanan ketika usia 30-an akibat penyakit glaukoma itu juga pernah menerima Anugerah Pengiktirafan Khas dalam NEXT-IMAGE Photographer Awards 2018 anjuran Huawei yang membabitkan penyertaan lebih 1,000 peserta global.

Memegang prinsip tiada apa yang mustahil jika lakukan sesuatu perkara dengan bersungguh- sungguh, Jamaliah berkata, kesedihan berpanjangan bukanlah satu pilihan.

“Walaupun mata saya diambil tetapi Dia bagi kelebihan lain kepada saya. Saya cakap kepada diri, tiada yang mustahil untuk dibuat walaupun cacat.

“Jika kita nak seribu daya, tak nak seribu dalih...macam-macam alasan, itulah...susahlah. Walaupun susah nak jalan, saya gagahkan juga sebab saya kena yakin dengan diri sendiri.

“Kita kena tempuh dugaan. Apa yang Tuhan dorongkan, saya jadilah, selalu saya cakap begitu kepada diri saya sendiri. Saya berdoa sihat supaya tak susahkan sesiapa,” katanya juga berkemahiran mengurut serta refleksologi itu.

Berperwatakan ceria dan diselangi gelak-ketawanya, perbualan wartawan selama sejam di rumah anaknya Saidatina Suraiya Mukhtar, 35, di sini, juga dimeriahkan keletah dia melayan tiga cucunya iaitu Eszechiel Zaffariel, 7, Eszabella Zaffriena, 5, dan Eszaffriel Zeifqal, 3.

JAMALIAH mula hilang penglihatan mata kanan ketika usia 30-an  akibat penyakit glaukoma.
JAMALIAH mula hilang penglihatan mata kanan ketika usia 30-an akibat penyakit glaukoma.

Menceritakan pembabitan awalnya dalam bidang fotografi, minatnya berputik sebab sering mengikuti bapanya Mohd Yassin Samad yang ketika hayatnya juga jurugambar bebas.

“Bapa meninggal dunia pada 2000 ketika usianya 90 tahun manakala ibu Yang Chik Baker menyusul tidak beberapa lama kemudian dalam usia 83 tahun.

“Ketika berkhidmat dengan Jabatan Penerangan, bapa adalah jurugambar bebas malah mempunyai bilik gelap untuk mencuci gambar filem ketika itu.

“Saya suka melihat gambar dihasilkannya termasuk detik gembira keluarga kami yang dirakamkan seperti sewaktu berkelah sekeluarga. Meningkat dewasa saya terikut-ikut minat itu namun terhenti apabila saya buta.

“Selepas saya buta, saya tidak lagi mengambil gambar. Macam mana saya nak ambil gambar? Apa yang saya nak shoot (ambil gambar)? Macam mana saya nak halakan sasaran gambar?” katanya.

Justeru, katanya, peluang mengikuti kursus Fotografi Deria untuk orang buta dari 10 Mac hingga 2 Jun tahun lalu tidak dilepaskan begitu saja dan dianggap sebagai batu loncatan meneruskan minatnya dalam bidang fotografi.

Kursus itu katanya, mempunyai 10 sesi kelas setiap Sabtu antara jam 9 pagi hingga 12 tengah hari dan dia menjadi pelajar terbaik sehingga dihadiahkan kamera oleh gurunya yang juga jurugambar terkenal David Lok.

“Naluri amat penting. Saya pun tak tahu gambar apa yang saya ambil. Saya tangkap saja, orang lain yang menilai kerja saya. Berkenaan kelas, mula-mula kami diajar teknik bagaimana nak merasa punca cahaya untuk mengetahui bayang.

“Jika cahaya sebelah kanan bermakna bayang-bayang sebelah kiri, jika rasa panas di belakang maknanya bayang-bayang di hadapan. Gambar diambil berdasarkan rasa mentari, tidak kiralah sama ada gambar bangunan atau orang,” katanya yang turut memiliki anak lelaki, Efy Al-qoazil, 38.

Kelas kedua, katanya, dia belajar cara untuk merasai tekstur seperti permukaan lantai atau dinding sebelum diajar beberapa teknik lagi seperti bunyi, perasaan dan naluri di sesi kelas seterusnya.

Sekiranya untuk mengambil gambar orang berkumpulan, dia diajar kiraan langkah dan memegang ketinggian ahli kumpulan itu untuk mendapat ketepatan sama tengah serta setiap orang masuk dalam bingkai.

“Contohnya, kumpulan 10 orang, saya ukur jarak berdasarkan berapa langkah saya dari hujung ke hujung. Katakan 20 langkah jadi ambil 10 langkah pula di tengah, dan langkah ke belakang kira-kira 10 langkah pula. Kemudian kamera diletakkan di dahi sebelum tekan pemicu untuk mengambil gambar,” katanya juga pernah terbabit pameran solo di ibu negara.

Mengimpikan satu hari nanti untuk membuka mini studio fotografi buta, katanya, dia berharap untuk menyebarkan ilmu dipelajarinya kepada golongan senasib sepertinya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Disember 2019 @ 6:45 AM