KANAK-KANAK teruja melihat anak patung besar yang dijadikan pesakit.
KANAK-KANAK teruja melihat anak patung besar yang dijadikan pesakit.
Siti Zarinah Sahib

Menangis dan meronta-ronta antara aksi yang biasa ditunjukkan kanak-kanak saat menerima suntikan doktor. Situasi ini menjadi lebih sukar apabila ibu bapa tidak mampu memujuk si kecil untuk bertenang atau senyap apabila menerima rawatan di hospital.

Akibatnya, anak comel ini akan terus dibelenggu rasa takut untuk ke hospital walaupun sudah bersekolah rendah. Pengalaman sama turut dirasai Anissa Raudhah Mokhzani, 21, yang mengakui sering memberikan persepsi buruk berkenaan hospital setiap kali dibawa ibu bapanya untuk menerima rawatan.

Menurut Anissa Raudhah, dia sendiri tidak tahu mengapa, tapi setiap kali melihat kanak-kanak lain menitiskan air mata, dia turut menangis sama. Ini berlaku terutama apabila perlu menerima suntikan.

“Saya masih ingat sebelum usia 10 tahun memang saya takut ke hospital. Pengalaman disuntik, makan ubat atau mengambil nebulizer adalah perkara menakutkan dan ingin dielakkan.

“Tapi selepas ibu membawa saya melawat wad kanak-kanak di hospital dan berbual dengan rakan sebaya, lama-kelamaan perasaan cuak itu hilang serta-merta. Saya semakin faham tugas pegawai perubatan dan juga jururawat yang ingin memastikan pesakit berada dalam keadaan sihat semula,” katanya yang juga pelajar jurusan perubatan di Royal Collage of Surgeons Ireland, Dublin.

Bertujuan ingin mengurangkan rasa trauma si kecil terhadap doktor dan persepsi hospital bukanlah lokasi ‘menyeramkan’ mendorong sekumpulan pelajar perubatan yang menuntut di Ireland, United Kingdom, Kanada dan Malaysia menganjurkan program Toyspital bagi memberikan pendedahan berkenaan peranan dan tugasan di hospital kepada kanak-kanak dan ibu bapa.

SI KECIL ditunjukkan cara menggunakan stetoskop oleh seorang pelajar perubatan.
SI KECIL ditunjukkan cara menggunakan stetoskop oleh seorang pelajar perubatan.

Program yang akan berlangsung pada 22 Julai ini di Dewan Lotus Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya, Selangor itu adalah penganjuran kedua selepas diadakan pada Ogos tahun lalu.

Menurut Pengarah Program Toyspital, Marissa Muhd Dinar, Toyspital diasaskan sekumpulan pelajar daripada pelbagai latar belakang pengajian dan universiti berbeza bertujuan memperkenalkan bidang perubatan kepada kanak-kanak dengan cara lebih interaktif serta mesra. Ia mengambil inspirasi daripada program kanak-kanak di Ireland dan Marissa bertindak sebagai sukarelawan untuk program ini.

“Di Ireland, program ini dikenali sebagai Teddy Bear Hospital dan saya menjadi sukarelawan ketika itu. Saya diajar cara menarik perhatian kanak-kanak dan menangani situasi seperti memujuk, menenangkan dan mententeramkan mereka apabila perlu diberikan rawatan. Saya terfikir mengapa tidak membawakan program ini ke Malaysia supaya institusi kesihatan dan masyarakat amnya kanak-kanak dapat dirapatkan,” katanya.

Toyspital memberi peluang kepada peserta cilik berusia tiga hingga tujuh tahun untuk menjalani aktiviti yang dicipta bagi membolehkan mereka melakonkan watak doktor atau melihat sendiri tugasan ahli perubatan.

“Bagi menjadikan setiap aktiviti lebih interaktif, si kecil akan menjalani tujuh prosedur perubatan antaranya termasuk Super Surgeon yang memperkenalkan alatan pembedahan dan organ dalaman tubuh manusia menggunakan anak patung beruang khas lengkap ‘berorgan’ disediakan penganjur, Run Teddy Run dan pick O Treat!,” katanya.

SALAH satu aktiviti interaktif sempena program Toyspital pada 22 Julai nanti.
SALAH satu aktiviti interaktif sempena program Toyspital pada 22 Julai nanti.

Ada tujuh perhentian

Bercerita lebih lanjut berkenaan Toyspital 2018, menurut Ketua Jawatankuasa Toyspital, Adlina Ab Rahim, kanak-kanak yang menyertai program ini diminta membawa bersama anak patung lembut kepunyaan mereka. Anak patung ini akan dijadikan pesakit sementara mereka bakal memainkan peranan sebagai doktor yang akan menjalani prosedur perubatan di tujuh stesen.

Untuk lebih meyakinkan, setiap peralatan dihasilkan sendiri bagi memberi peluang kanak-kanak mempelajari dengan lebih mendalam. Misalnya organ dalaman badan yang dijelaskan secara sederhana supaya kanak-kanak lebih mudah faham.

“Pengajaran yang kami bawakan adalah dalam bentuk interaktif dan menyeronokkan. Ia sudah tentu sesuai usia kanak-kanak yang tidak mahu terlalu serius dalam pembelajaran, sebaliknya gemar bermain. Kami mahu mereka lebih terdedah berkenaan peralatan di hospital dan fungsinya,” katanya.

Dalam program ini, peserta akan melewati tujuh stesen bertema, dilengkapi peralatan perubatan olok-olok yang akan digunakan doktor ke atas pesakit (anak patung) mereka. Tujuh stesen ini membolehkan si kecil bereksplorasi bukan saja menggunakan alatan perubatan tapi ditunjukkan juga cara bersenam dan menjaga pemakanan.

“Jika pada 2017, kita sediakan enam stesen saja iaitu Super Surgeon, Where Did My Food Go, Run Teddy Run, Make Way For Airway, Ouch! Teddy Got Hurt dan Super Vision, tahun ini terdapat beberapa penambahan baharu sebagai tarikan kepada peserta dan ibu bapa iaitu stesen Prick O’ Treat khusus berkenaan jarum, suntikan dan vaksin,” katanya.

PENGANJUR Toyspital (dari kiri) Anissa Raudhah, Marissa, Nizua Iddil Syafiq Mohd Nizualsham, Muhammad Amri Ilias, Amiera Amani Ahmad dan Adlina Ab Rahim ketika majlis sidang media di Bangsar, baru-baru ini.
PENGANJUR Toyspital (dari kiri) Anissa Raudhah, Marissa, Nizua Iddil Syafiq Mohd Nizualsham, Muhammad Amri Ilias, Amiera Amani Ahmad dan Adlina Ab Rahim ketika majlis sidang media di Bangsar, baru-baru ini.

Ibu bapa juga tidak terkecuali kerana mereka juga berpeluang menyertai pelbagai sesi seperti demonstrasi dan latihan pertolongan kecemasan serta bantuan menyelamatkan mangsa tercekik, pemeriksaan kesihatan percuma serta ceramah yang mempunyai pengisian bertemakan Kempen Berhenti Merokok.

Selain itu, ibu bapa boleh mengikuti aktiviti seperti pemeriksaan kesihatan percuma, demonstrasi melakukan kaedah bantuan pernafasan (CPR) dan ceramah berkaitan kesihatan anak.

“Pembabitan ibu juga penting bagi membolehkan mereka tahu situasi kesihatan anak terutama berkaitan imunisasi dan vaksin. Begitu juga pelbagai demonstrasi yang memberikan lebih maklumat kepada penjaga menghadapi situasi kecemasan membabitkan anak seperti tercekik atau terjatuh,” katanya.

Pada tahun ini dijangka sasaran pengunjung semakin bertambah dengan anggaran 500 peserta. Selain itu, tempat juga lebih besar dengan empat sesi dibuka berbanding hanya tiga sesi pada tahun lalu. Satu sesi boleh memuatkan seramai 125 peserta.

Dianjurkan MediAid, Malaysian Medics International (MMI), Pusat Perubatan Sunway dan syarikat insurans Etiqa, Toyspital yang akan menjadi acara tahunan diharap dapat diadakan dalam skala yang lebih besar membabitkan lebih ramai kanak-kanak di seluruh negara.

Ibu bapa yang berminat membawa anak bersama mereka boleh mendaftarkan penyertaan menerusi borang yang disediakan di laman Facebook Toyspital KL. Bayaran masuk RM30 dikenakan untuk peserta dan percuma untuk ibu bapa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 2:54 PM