Yusliza Yakimir Abd Talib

Golongan pekerja muda negara ini berdepan peningkatan tekanan untuk berjaya secara peribadi dan profesional sebelum meningkat usia 30 tahun.

Menurut kaji selidik oleh rangkaian profesional LinkedIn, 32 peratus lelaki dan 29 peratus perempuan mengakui mereka mengalami ‘krisis suku hayat’ pada usia 20-an dan 30-an.

‘Krisis suku hayat’ menurut ahli psikologi adalah perasaan tidak puas hati dengan kehidupan yang dikecapi ketika ini dan mereka rasa kehabisan masa. Ini boleh menyebabkan kebimbangan atau kemurungan dalam kalangan orang muda daripada kedua-dua jantina.

Kaji selidik terhadap 1,003 golongan muda Malaysia yang bekerja mendapati kira-kira satu pertiga daripada mereka rasa tertekan untuk berjaya dalam hubungan, kerjaya atau kewangan, walaupun majoriti kedua-dua jantina sudah mempunyai pekerjaan sepenuh masa.

Mencari pekerjaan atau kerjaya yang mereka sukai adalah pencetus utama kebimbangan terhadap diri masing-masing.

Ketua Komunikasi Linkedln Asia Tenggara dan Asia Utara Linda Lee berkata, jika seseorang berasa sukar mencari pekerjaan atau kerjaya yang disukai atau mencapai keselamatan kewangan untuk diri sendiri dan orang tersayang, mereka tidak bersendirian.

Katanya, amat penting mendapatkan nasihat atau mencari mentor apabila kita menghadapi tekanan di dalam dan di luar tempat kerja.

“Bercakap dengan seseorang yang boleh dipercayai akan membantu anda menilai, menangani dan menghadapi krisis suku hayat,” katanya.

Menurutnya, ramai golongan muda yang ditinjau memerlukan nasihat kerjaya tetapi tidak mendapatkan nasihat yang betul, satu pertiga daripada kedua-dua jantina mengubah kerjaya mereka sepenuhnya, sama ada bermula sekali lagi dalam sektor atau peranan baru, manakala separuh daripada responden berasakan mereka tidak mendapat sokongan yang cukup di tempat kerja untuk membantu perkembangan kerjaya.

Oleh itu, katanya, dalam usaha membantu rakyat Malaysia muda menangani cabaran pekerjaan dan kerjaya, syarikat itu mencipta hab Nasihat Kerjaya apabila ahli boleh berhubung dengan mentor kerjaya untuk mendapatkan nasihat sama ada bertukar kerjaya, menguruskan kewangan, peluang belajar atau membantu dalam menyeimbangkan kerjaya dan kehidupan.

Majikan juga berperanan besar dalam menyokong pekerja muda. Dengan lebih banyak syarikat yang ingin menggaji golongan muda, syarikat akan berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk menarik dan mengekalkan pekerja berbakat jika menawarkan bimbingan kerjaya, mentor, pembelajaran dan peningkatan peluang untuk membantu setiap pekerja berjaya dalam peranan mereka.

Memahami apa yang golongan ini mahukan adalah penting kerana ia memberi mereka peluang untuk mencapai potensi dan berkembang bersama syarikat.

Antara contoh situasi yang dihadapi oleh kebanyakan anak muda seperti Vera Wong yang berjaya dan mempunyai pekerjaan selesa di satu syarikat pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, namun dia berasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan kerjayanya.

“Saya sangat bernasib baik memiliki kerjaya yang baik pada awal 20-an, tetapi mahu lakukan sesuatu yang lebih, kerana meragui diri sendiri, saya teragak-agak. Satu perkara yang akhirnya memberi inspirasi kepada saya untuk mengubah kepercayaan adalah petikan kegemaran saya oleh Zig Ziglar: ‘Anda tidak perlu menjadi hebat untuk bermula, anda hanya perlu mula menjadi hebat.’

“Ini memberi saya keyakinan menceburi bidang baru. Hari ini, saya dapat rasakan tujuan membantu orang lain menemui laluan kerjaya mereka sendiri. Kadang-kadang, anda perlu mencuba dan dengan sedikit kegigihan serta kepercayaan, anda akan dapat mencari makna dalam apa yang anda lakukan,” katanya.

PERSEKITARAN kerja dan ketua yang baik mengurangkan tekanan pekerja.
PERSEKITARAN kerja dan ketua yang baik mengurangkan tekanan pekerja.

Tanda krisis suku hayat

Ramai orang menceritakan tanda yang dialami di dalam blog mereka dan antara yang ketara adalah:

1. Kemurungan

Kemurungan adalah tanda paling utama yang perlu dikesan awal. Kemurungan boleh menjatuhkan kerjaya seseorang dan menjejaskan keseluruhan hidupnya. Jadi jika ada sebarang masalah yang mengganggu fikiran, jangan terus dipendam, kerana bimbang ia boleh menyebabkan keadaan anda bertambah buruk.

2. Rasa kecewa

Apabila rasa kecewa, anda mudah mengalirkan air mata. Kekecewaan yang tidak dibendung boleh mencetuskan rasa marah. Kemarahan ini biasanya mencetuskan tindakan agresif sama ada melalui perkataan atau perbuatan yang boleh melukakan orang lain. Kekecewaan juga akan membuatkan anda hilang fokus dan tidak lagi gembira dengan diri sendiri.

3. Terasa diri tiada pilihan

Anda mungkin tidak suka apabila sering diarah tetapi terpaksa melakukannya kerana berasa tiada pilihan lain. Sudah sampai masanya untuk anda memikirkan kepentingan diri dan cuba mencari perkara yang disukai. Ada ramai orang rela mendapat gaji yang lebih rendah asalkan kerjaya itu menggembirakannya.

4. Tiada motivasi

Sering rasa hilang semangat dan tiada motivasi adalah antara gejala yang menandakan anda terperangkap dalam krisis suku hayat.

5. Terasa diri tersisih

Rasa diri tersisih, terasing dan ‘tertinggal’ yang menyebabkan seseorang melihat hidupnya seolah-olah tidak bererti dan tidak berguna.

6. Rasa diri gagal

Jika anda sering berasa diri kurang berjaya atau lebih teruk, gagal, anda sebenarnya menghukum diri sendiri tanpa sedar. Tanpa sedar anda sering membandingkan diri dengan orang lain termasuk ibu bapa, rakan sekolah atau teman sepejabat.

7. Rasa diri terperangkap

Anda mungkin berasa diri terperangkap dengan kerjaya, rumah tangga, pelajaran atau apa saja yang membuatkan anda berasa tidak gembira.

8. Hilang keyakinan diri

Keyakinan diri anda mula merosot dan anda mudah berasa ragu dengan kebolehan diri sendiri. Kelebihan diri dianggap sesuatu yang ‘biasa-biasa’ dan tidak boleh dibanggakan.

9. Anda sedar masalah dihadapi, tetapi tidak ambil tindakan

Perkara ini boleh berlaku apabila anda berasa tindakan yang diambil tidak akan mengubah apa-apa. Ini hanya anggapan, kerana belum cuba anda tidak akan tahu hasilnya.

10. Tidak dapat mencari kerja yang memberi makna

Ini dialami oleh semua orang, namun anda perlu melihat kerjaya itu dari sisi positif dan cuba fikirkan bagaimana ia boleh memberi manfaat kepada orang lain sama ada melalui sumbangan derma sebahagian daripada gaji anda.

Petua berguna

Ada banyak langkah yang boleh anda lakukan untuk menghadapi krisis suku hayat:

• Berhenti membandingkan diri anda dengan orang lain

Rakyat Malaysia sering membandingkan hampir setiap aspek kehidupan mereka dengan rakan sebaya. Membandingkan perjalanan karier anda sendiri dengan rakan sebaya pasti akan memburukkan perasaan kekecewaan dan kekurangan prestasi.

Ingat semua orang berada di tahap yang berbeza dalam kerjaya mereka, jadi jangan bandingkan diri anda dengan orang lain. Apa saja kejayaan dan apa saja yang membuatkan anda bahagia sudah cukup.

BERHENTI bandingkan diri anda dengan orang lain.
BERHENTI bandingkan diri anda dengan orang lain.

• Dapatkan nasihat

Anak muda Malaysia yang mengalami krisis suku hayat mengatakan mereka mungkin bercakap tentang kerjaya dengan keluarga (59 peratus), rakan (59 peratus) dan pasangan (53 peratus) berbanding rakan sekerja (30 peratus) dan bos (11 peratus).

Walaupun mereka mencari nasihat, mereka sering tidak tahu di mana mencari jawapan dan merasa seperti mereka tidak mendapat sokongan yang cukup di tempat kerja untuk membantu mereka maju.

Hab Nasihat Kerjaya di LinkedIn adalah sumber yang baik untuk golongan muda Malaysia mendapatkan bimbingan dan nasihat kerjaya daripada mentor di luar tempat kerja. Anda juga boleh menjadi mentor dan berkongsi pengalaman dan pandangan anda dengan ahli lain.

• Tingkatkan diri dan belajar

Hampir separuh (48 peratus) anak muda Malaysia merasa terperangkap dalam peranan mereka sekarang dan mencari jalan keluar.

Linkedln mencadangkan agar mereka secara proaktif mencari peluang latihan, sama ada dari syarikat anda atau dari platform dalam talian seperti LinkedIn Learning, untuk memastikan anda sentiasa meningkatkan kemahiran dan mempelajari perkara baru.

Pelajari kemahiran baru dan tingkatkan pengetahuan mungkin membuka peluang untuk mencuba peranan baru atau berbeza dalam syarikat itu, dan akan membantu anda maju dalam kerjaya.

PERBAIKI diri dengan sentiasa belajar perkara baru untuk peningkatan kerjaya.
PERBAIKI diri dengan sentiasa belajar perkara baru untuk peningkatan kerjaya.

• Pertimbangkan semua pilihan

Banyak syarikat menawarkan faedah pekerjaan yang tidak semua pekerja sedari. Malah, satu pertiga daripada syarikat di Malaysia menawarkan pilihan kerja yang fleksibel dan cuti berbayar.

Sama ada memulakan kerjaya baru atau teruskan kerjaya semasa, anda perlu mengetahui segala kemungkinan. Dengan memahami manfaat pekerjaan, anda akan mempunyai lebih banyak pilihan yang tersedia, dan ini akan membantu anda dalam membuat keputusan yang lebih tepat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Mei 2018 @ 3:19 PM