CIRI utama kehidupan moden kini boleh diringkaskan secara tepat dengan kata-kata ini: Terlalu banyak harus dilakukan, terlalu sedikit masa. Kerja, hiburan, keluarga, kawan-kawan, minat, kesemua ini memerlukan perhatian kita.

Antara mengimbangkan keperluan dan mencari masa melakukannya, aspek lain juga mungkin terabai, terutamanya aspek yang biasa dianggapkan kurang penting seperti pemakanan. Makan terlalu cepat atau tidak makan kerana perlu memenuhi ruang waktu yang terdesak akan meletakkan stres ke atas sistem penghadaman, lalu membawa kesan buruk kepada kesihatan kita.

Pedih hulu hati, masalah metabolisme, penyakit jantung, kenaikan berat badan, ketidakcernaan, perut kembung, kekejangan perut – ini semua antara masalah yang boleh berlaku jika anda tidak meluangkan masa untuk pemakanan yang betul.

Petua untuk kesihatan penghadaman

Bagi mencegah masalah penghadaman, amalkan petua berikut:


• Kunyah dengan elok

Kunyah dan telan setiap gigitan makanan dengan elok sebelum suapan seterusnya. Suapan dan gigitan yang kecil juga membantu anda mengunyah dengan lebih baik.

• Minum air secukupnya di antara waktu makan

Petua penting, anda perlukan 2-3 liter air setiap hari daripada makanan dan minuman (air kosong adalah terbaik). Ini juga bergantung kepada umur, jantina, gaya hidup, cuaca dan keadaan anda (contohnya, mengandung atau menyusu).

• Tingkatkan pengambilan serat

Serat pemakanan akan meningkatkan ketulan najis dan melembutkannya, menjadikannya lebih mudah untuk dikeluarkan. Faedah kesihatan lain termasuklah mengawal kandungan gula dalam darah dan merendahkan tahap kolesterol. Dapatkan serat anda daripada bijirin penuh, buah-buahan, sayur-sayuran, kekacang dan legum.

• Perbanyakan lebih probiotik

Satu lagi komponen sistem penghadaman ialah mikrobiota usus, iaitu mikroorganisma yang mempunyai pelbagai peranan dalam usus. Untuk usus berada pada tahap optimum, mikrobiota usus perlu mempunyai keseimbangan antara bakteria baik dan tidak baik. Pengambilan probiotik boleh membantu mengekalkan keseimbangan itu.

Menurut satu kajian dijalankan oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia pada 2018, pengambilan tetap minuman susu berkultur hidup mengandungi L. acidophilus dan L. paracasei menunjukkan kesan positif pada kesihatan penghadaman subjek penyelidikan di mana masa penghadaman makanan mereka daripada 20-45 jam telah berkurangan sebanyak 5-15 jam, dan simptom sembelit juga bertambah baik. Lebih penyelidikan klinikal antarabangsa masih dijalankan bagi mengesahkan peranan dan menerokai potensi probiotik.

• Awasi sensitiviti makanan

Ramai orang tidak sedar bahawa mereka mengalami sensitiviti makanan, lalu menganggap kekerapan gejala sakit perut atau kekembungan sebagai kebetulan. Ini boleh menjejaskan penghadaman dan penyerapan nutrien. Produk tenusu dan bijirin antara penyebab biasa. Dapatkan nasihat pakar bagi mengesan makanan yang mungkin kurang sesuai untuk anda agar penghadaman bertambah baik. Sensitiviti makanan adalah berbeza dengan alahan makanan.

• Makan dengan lebih kesedaran

Ini bermaksud menumpukan perhatian kepada makanan yang disediakan dan diambil. Ini menjadikan anda lebih sedar cara badan anda bertindak balas disebabkan tabiat makan anda. Ini bermula dengan pembelian bahan makanan, pilih bahan-bahan segar dan kurangkan makanan diproses. Hargai makanan di atas meja anda dan cuba nikmati hidangan itu. Satu lagi cara adalah dengan menggunakan pinggan mangkuk kecil untuk mengehadkan saiz hidangan anda. Tabiat-tabiat ini akan membantu anda makan lebih perlahan yang akan membantu penghadaman.

Makan bukanlah hanya untuk menikmati rasa makanan dan memuaskan rasa lapar, tetapi juga untuk memberikan nutrien kepada badan kita. Namun, kita sering lupa bahawa penghadaman juga sebahagian daripada proses pemakanan selepas makanan hilang ke dalam perut kita. Proses ini sama pentingnya dengan pilihan makanan kita. Penghadaman yang sihat juga memastikan badan kita memperoleh zat sewajarnya dan kekal sihat.

Artikel ini ihsan Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia (DHM) dan Program Penghadaman Sihat VITAGEN (VHDP), sempena kempen kesedaran Hari Kesihatan Penghadaman Sedunia 2019. Dato’ Dr Fitzgerald Hendry ialah Pakar Perunding Pembedahan (Kolorektal) dan juga Ahli Majlis Persatuan Kesihatan Penghadaman Malaysia. Beliau tidak berkaitan mahupun menyokong mana-mana jenama atau produk. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi 03-56323301.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Oktober 2019 @ 10:11 AM